
ALOR SETAR: Sultan Kedah, Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah berkenan berangkat ke Istiadat Perbarisan Kehormatan Sempena Ulang Tahun Keputeraan Baginda Ke-83, di Dataran Medan Bandar, di sini hari ini.
Berangkat bersama Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Tengku Ariff dan Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin serta Raja Puan Muda Kedah, Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff.
Turut berangkat, Tengku Mahkota Kedah, Tunku Shazuddin Ariff Sultan Sallehuddin dan Tunku Puan Mahkota Kedah, Che Puan Nur Julie Ariff.
Tuanku juga berkenan menerima tabik hormat dan pemeriksaan kawalan kehormatan utama daripada Batalion Keenam Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) bersama panji-panji rejimen.
Persembahan kehormat itu juga terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat, diketuai Mejar Muhammad Nasrullah Abdullah.
Kawalan kehormatan utama diiringi pancaragam Pusat Rejimen Askar Melayu Diraja dibawah pimpinan Kapten Muhamad Fauzee Japar dan dibantu oleh Pegawai Waran 2 Aliff Farhan Hashim.
Manakala pembawa panji-panji adalah Leftenan Muda Muhammad Alif Izzudin Nasirudin dan Sarjan Mejar Rejimen Panji-panji adalah Pegawai Waran 1 Hermi Bakry.

Keberangkatan baginda ke Dataran Medan Bandar, turut diiringi Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor bersama isteri, Tok Puan Jusmalailani Jusoh.
Selain turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Norizan Khazali serta Ahli -Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
Pada sambutan kali ini, juga diadakan acara terbang lintas hormat oleh dua buah pesawat EC 120B dari INSPEN 2 dan 5 pesawat PC-7 MK2 dari
INSPEN 1.
Dalam pada itu, kawalan kehormatan turut diiringi dengan 21 das tembakan meriam oleh 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja (Istiadat), dipimpin oleh Mejar Hafizan Md Ghani dari 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja (Istiadat), Kem Sungai Buluh, Selangor.
Majlis Istiadat Perbarisan Kehormatan Sempena Ulang Tahun Keputeraan Baginda Ke-83, bertambah meriah dengan dihadiri rakyat jelata dari pelbagai lapisan masyarakat dan umur.
Acara meriah tersebut menyaksikan orang ramai memenuhi Dataran Medan Bandar, sejak awal pagi. – HARAKAHDAILY 22/6/2025












