
KEPUTUSAN PRU 15 telah mentakdirkan Perikatan Nasional (PN) yang diketuai Tan Sri Muhyidin Yassin telah gagal membentuk Kerajaan Persekutuan. Dari kelicikan strategi dan rundingan sulit dengan Umno, Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Dato Seri Anwar Ibrahim berjaya menyakinkan Yang di-Pertuan Agong bahawa PH dan koalisinya telah mendapat majoriti d Dewan Rakyat seterusnya mengangkat sumpah sebagai PM yang ke-10.
Sebahagian pemerhati politik melihat, semua ini berlaku kerana PN kurang bersedia dengan sepak terajang strategi pasca pilihan raya (post election strategy) di samping sosok calon PM dari PN yang disuakan kurang diterima oleh Yang di-Pertuan Agong.
Bagi mencapai penguasaan total Dewan Rakyat menjelang PRU16 adalah baik kiranya kita semua merenung alternatif terpendam yang tersedia dengan mempertimbangkan untuk PAS mengetuai PN bagi mengelak kegagalan berulang. Hipotesis ini perlu difikirkan menjelang muktamar nanti bagi mewujudkan absolute winning formula untuk masa depan Malaysia. Perasaan lebih menjaga sekutu politik perlu diganti dengan jati diri dan yakin akan kebolehan PAS yang terpendam di samping tetap menjaga setia kawan dalam PN. PAS memang ada kelebihan yang mendalam.
PAS parti paling kuat
Umum pengetahui PAS adalah parti yang paling lama dalam PN yang tumbuh membiak sejak 1951 di seluruh negara. Semua kawasan dan cawangan mempunyai ramai ahli yang komited dan bersedia menerima arahan pimpinan terutama musim perang PRU.
Jika diukur dari jumlah kerusi, PAS mempunyai kerusi paling banyak di Parlimen iaitu 43 kerusi mengalahkan semua parti lain. Selain itu, PAS telah pasak tapak kukuh di empat negeri dengan menguasai majoriti DUN. Pengaruh ini telah berjalan melata dalam hati nurani rakyat melalui dasar dan pelaksanaan yang kukuh berkesan.
Ini semua push factor yang memberi high impact kepada mood sokongan rakyat semasa pilihan raya.
Ideologi perjuangan Islam yang bersih
Ideologi perjuangan Islam PAS bertunjangkan Quran dan Hadis adalah paling bersih mempunyai hygienic value perjuangan yang tinggi dan kukuh untuk ditawarkan kepada Malaysia.
Ia tertanam secara perlahan dalam hati sanubari rakyat terutama selepas pelbagai peristiwa berlaku dalam geopolitik dunia akhir ini melibatkan gerakan Islam antarabangsa.
Pemikiran rakyat untuk kembali kepada Islam menuju suasana akhir zaman ini bertepatan dengan tawaran PAS supaya Islam dijadikan jantung politik Negara. Dasar ini juga telah diterjemahkan sebaiknya terutama zaman pentadbiran Ikon negara Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat di Kelantan selama 23 tahun.
Tawaran ini perlu disebarluaskan dengan ikon baru dalam PAS sesuai dengan pemikiran dan suasana semasa dalam negara.
Pemimpin bersih dan berwibawa
Semua pemimpin PAS adalah bersih dari segala skandal dan kontroversi selama memegang kuasa. Rekod ini juga terbukti tokoh PAS mempunyai ketahanan kepada ujian dan tekanan pemerintah Madani dalam pelbagai saluran pasca PRU15.
Begitu juga kemampuan mengurus negeri dengan visi dan hala tuju yang jelas dalam tempoh tertentu serta kejayaan mem perbaiki kerosakan yang dibuat oleh Umno-Barisan Nasional (BN) secara beransur serta meraih objektif ekonomi negeri, mewujudkan peluang pekerjaan melalui tindakan menarik pelaburan luar.
Ini semua adalah core competency pembuktian kebolehan MB PAS yang dinilai di hati rakyat.
Faktor ini juga perbandingan mudah kualiti yang ada berbanding dengan pemimpin dari parti politik lain terutama Umno dan PKR yang mencatat pencapaian mendatar walaupun di negeri sedia maju seperti Selangor.
Faktor strategik penyatuan orang Melayu Islam
PAS berada dalam posisi terbaik untuk menjadi magnet penyatuan orang Melayu Islam berbanding parti lain dalam PN. Sejarah dan rekod PAS sebagai rakan sekutu yang baik dan tidak menjadikan dendam sebagai objektif politik serta sentiasa menyeru kepada penyatuan walaupun kepada seteru politik Umno-BN.
Pergeseran Umno dengan BERSATU dalam khilaf politik selepas 2018 menjadikan mereka saling prejudis, justeru memerlukan pihak ketiga yang lebih dipercayai bagi mewujudkan kepimpinan kondusif di semua arah politik menuju penyatuan ummah.
Ini adalah formulasi penyatuan dalam Muafakat Nasional (MN) yang telah gagal sekerat jalan.
Seruan penyatuan ini sememangnya ditunggu majoriti rakyat bagi membendung ancaman sikap unilateral rasis terutama dari DAP yang cuma dinormalisasikan. Ini bahaya!!
PAS perlu membetulkan tiang-tiang bengkok umat dan menyapu sampah sarap perkauman bagi menurap semula jalan wehdatul ummah.
Hubungan hangat dengan Raja-raja Melayu
Pemimpin dan MB PAS tidak pernah membuat onar dengan Raja-raja Melayu dalam semua isu kritikal. Mereka selalu membina hubungan yang hangat dengan institusi raja dan dilihat sentiasa taat menghormati titah diraja dalam banyak keadaan.
Dikhabarkan tajuk ini telah menjadi common perspektif kepada Raja- raja Melayu terhadap PAS. Faktor ini mungkin akan memberi tectical advantage kepada PAS dalam membina laluan mudah kepada semua urusan terutama pembentukan Kerajaan selepas PRU.
Faktor Samsuri dan Sanusi
YB Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan YB Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor telah meletakkan tanda aras baru (new benchmark) kualiti kepimpinan negeri di Malaysia.
Sikap dua MB PAS ini yang sederhana, pesona peribadi yang memikat telah menjelmakan kualiti pemimpin PAS dalam menerajui Kerajaan. Ini juga cerminan kepada apa yang akan berlaku di Putrajaya nanti.
Dasar-dasar negeri yang menjiwai kesusahan dan derita rakyat telah menawan hati kelas menengah dan bawah Melayu Islam. Begitu juga dengan dasar dan layanan kepada bukan Islam yang langsung tidak mewujudkan ancaman keberadaan kaum Cina dan India di negeri bawah pentadbiran PAS.
Perkara ini telah menjadi fenomena luar biasa semasa PRU15 dulu dan tidak mustahil akan berulang terutama bila melihat respon rakyat yang muak dengan ancaman rasis DAP dan kelemahan tatakelola terkini serta masalah peribadi rendah moral Kerajaan Madani.
Masyarakat memerlukan alternatif yang berwibawa serta rekod yang terbukti berkesan (proven track record) dalam membawa bahtera Malaysia ke mercu kejayaan. Ini semua telah dizahirkan oleh PAS.
Terdapat juga pemimpin lain yang sedang menyinar seperti Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan, Dr Mohd Zuhdi Marsuki, Dr Haim Hilman Abdullah dan ramai lagi dalam ‘stok’ pemimpin berwibawa PAS.
Semua sosok ini setia redha dipandu oleh golongan ulama sebagai murshid penjaga dasar Islam PAS untuk diangkat menjadi dasar negara nanti.
Dato’ Sri Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man, Datuk Ustaz Idris Ahmad serta beberapa ulama muda lagi sentiasa menjadi teras dasar Islam PAS selain legasi Tuan Guru Presiden yang telah meletakkan pencapaian tertinggi dalam sejarah PAS.
Konklusi
Saya merasakan jika semua ini dapat dipakejkan bersama Umno, BERSATU dalam magnet penyatuan baru, tidak mustahil PAS/PN akan berjaya menyakinkan majoriti rakyat Malaysia terutama di 131 kerusi Parlimen Melayu Islam seluruh Semenanjung.
Jika ini terjadi, Borneo Pack dan parti kecil di Semenajung termasuk sebilangan PKR, DAP dan PAN akan bersatu d bawah payung PAS. Jajaran pemikiran ini perlu diusahakan supaya PN berjaya menawan dua pertiga majoriti sebelum kita semua memasuki gerbang pilihan raya nanti. PAS Boleh!!
IR ARIFFAHMI AB RAHMAN
Penganalisis politik bebas – HARAKAHDAILY 20/6/2025
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.











