PAS Indera Mahkota jalan kelas tuisyen percuma

Bantu pelajar kurang berkemampuan

Kelas Tuisyen percuma
- Advertisement -

KUANTAN: Usaha membantu pelajar kurang berkemampuan diteruskan menerusi penganjuran Kelas Tuisyen Rakyat Percuma anjuran Dewan Pemuda PAS Indera Mahkota dan Ameerah Indera Mahkota.

- Advertisement -

Program tersebut menyasarkan pelajar Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5 dari sekitar kawasan Indera Mahkota dan dijalankan di dua lokasi iaitu DUN Beserah dan DUN Semambu.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Beserah, Dato’ Andansura Rabu berkata, inisiatif itu merupakan salah satu usaha PAS untuk memastikan tiada pelajar tercicir dalam pelajaran akibat kekangan kewangan.

“Program ini terbuka kepada semua pelajar tanpa mengira latar belakang atau fahaman politik keluarga, sebagai satu usaha murni untuk membantu anak-anak yang memerlukan bimbingan tambahan dalam pelajaran, khususnya dalam menghadapi cabaran akademik masa kini,” katanya.

Menurut beliau, penglibatan masyarakat, ibu bapa dan para guru amat penting bagi memastikan program ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh pelajar.

“Saya menyeru ibu bapa, masyarakat dan para pendidik untuk bersama-sama menjayakan program ini. Jangan biarkan anak-anak kita terabai hanya kerana kekangan kewangan. Kita perlu mainkan peranan masing-masing,” ujarnya.

Seramai enam orang guru berpengalaman terlibat dalam sesi pengajaran merangkumi subjek teras seperti Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Matematik Tambahan dan Pendidikan Islam.

Program tuisyen ini turut diselitkan dengan sesi kerohanian bertujuan membentuk sahsiah dan jati diri pelajar agar cemerlang dari segi akademik dan peribadi.

Pendekatan yang mesra dan mendidik itu dilaksanakan dengan harapan mampu menarik minat golongan muda serta memberi kesan positif kepada pembelajaran mereka. – HARAKAHDAILY 20/6/2025

- Advertisement -