
KOTA BHARU: Kelantan mengalu-alukan kehadiran tokoh pemikir muda, pejuang kemanusiaan, aktivis pada Persidangan Belia Islam Antarabangsa Kelantan (I-MYSK) 2025 pada hari ini dan esok.
Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Mohd Nassuruddin Daud menerusi satu hantaran Facebook berkata, penganjuran program itu adalah selari komitmen berterusan kerajaan negeri.
Beliau berkata, kerajaan negeri tidak pernah berganjak daripada memperjuangkan pembebasan rakyat Palestin dari penjajahan Isreal serta menjunjung tinggi prinsip kemanusiaan sejagat.
“Saya mengalu-alukan kedatangan seluruh delegasi dari dalam dan luar negara ke persidangan ini yang akan melibatkan tokoh pemikir muda, pejuang kemanusiaan, aktivis, artis dan wartawan.
“Ini bagi membina solidariti dan mengangkat suara rakyat tertindas di bumi Palestin, akan bersidang bermula 23 hingga 24 Zulhijjah bersamaan 20 hingga 21 Jun di Kota Bharu,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan Menteri Besar akan menyempurnakan majlis perasmian pada malam ini di Hotel H-Elite Design Kota Bharu, turut hadir Exco Kerajaan Negeri, Zamakhshari Muhammad.
Persidangan itu menghimpunkan lebih 150 peserta dari lebih 20 negara termasuk Palestin, Turkiye, Mesir, United Kingdom (UK) dan banyak lagi, serta mendapat penyertaan lebih 50 NGO seluruh dunia.
Sebagai penutup, Himpunan 10,000 ‘Untukmu Palestin’ akan diadakan pada malam 21 Jun pukul 9.00 malam di Stadium Sultan Muhammad IV di sini dijangka dihadiri rakyat dari pelbagai latar belakang.
Antara pengisian utama termasuk persembahan nasyid oleh kumpulan In-Team, ucapan daripada pemimpin NGO, serta pembacaan ‘Deklarasi Kelantan untuk Palestin’ oleh wakil belia.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meranti itu turut menyeru rakyat Kelantan supaya dapat menghadiri himpunan 10,000 rakyat Kelantan menyatakan solidairiti pembebasan rakyat Palestin.
“Rakyat Kelantan diseru untuk hadir beramai-ramai menjayakan Himpunan 10,000, Malam Untukmu Palestin pada 21 Jun 2025 (Sabtu) bertempat Dataran Warisan, Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu.
“Sebagai tanda solidariti kita terhadap perjuangan demi Al-Aqsa ini, marilah kita sama-sama menggemakan suara keadilan dan kebebasan dari Kelantan ke seluruh dunia,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/6/2025











