
SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menegaskan bahawa penyalahgunaan perkataan ‘Islam’ dalam nama dan penerbitan SIS Forum (Malaysia) boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat Islam.
“Sultan Selangor selaku Ketua Agama Islam di Selangor menggesa agar SIS Forum (Malaysia) tidak lagi menggunakan perkataan ‘Sisters in Islam’ ke atas apa-apa bentuk penerbitan di mana-mana platform yang dikaitkan dengan syarikat mereka.
“Ia supaya perkataan ‘Islam’ tidak sewenang-wenangnya digunakan untuk faedah dan kepentingan syarikat tersebut,” menurut kenyataan rasmi dikeluarkan itu.
Baginda menzahirkan kekecewaan dan dukacita dengan sebahagian keputusan Mahkamah Persekutuan yang menyentuh fatwa bertarikh 31 Julai 2014 tidak terpakai kepada Sisters in Islam (SIS) Forum Malaysia serta pertubuhan atau institusi, sebaliknya hanya kepada individu.
Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dalam pada itu menzahirkan kebimbangan bahawa keputusan majoriti Mahkamah Persekutuan dalam kes ini akan membuka ruang kepada kumpulan tertentu yang tidak bertanggungjawab untuk berselindung di sebalik nama Islam.
Iaitu dalam sesebuah syarikat, pertubuhan atau institusi bagi mengamal dan menyebarkan ajaran sesat yang bertentangan dengan ajaran Islam supaya tindakan penguatkuasaan tidak dapat diambil terhadap mereka.
Terdahulu, Mahkamah Persekutuan memutuskan fatwa Selangor yang mengisytiharkan fahaman liberalisme dan pluralisme agama sebagai sesat tidak boleh diguna pakai terhadap SIS Forum Malaysia.
Ini kerana fatwa itu hanya terpakai kepada orang perseorangan beragama Islam dan bukannya syarikat atau pertubuhan. – HARAKAHDAILY 19/6/2025











