
PADANG BESAR: Ahli Pertubuhan OKU Perlis giat mengusahakan tanaman pokok gac sebagai inisiatif baharu di bawah program projek Komuniti Parlimen Padang Besar, dengan sokongan penyelidik Universiti Utara Malaysia (UUM) dan syarikat RockHerbs.
Ahli Parlimen Padang Besar, Rushdan Rusmi menyifatkan ini sebagai satu contoh kerjasama rentas sektor yang memberi impak besar kepada golongan orang kelainan upaya (OKU) di kawasan Parlimennya.
“Buah gac dikenali dengan khasiat kesihatannya yang luar biasa, antaranya membantu mengesan penyakit jantung dan meningkatkan tahap penglihatan hingga 10 kali lebih berkesan daripada lobak merah.
“Selain dimakan segar, buah gac juga boleh diproses menjadi jus dan pelbagai produk hiliran seperti biskut dan makanan kesihatan, menjadikannya pilihan ideal untuk pertanian bernilai tinggi,” katanya kepada Harakahdaily, hari ini.
Projek ini ujarnya, merupakan langkah lanjutan selepas kejayaan dalam projek tanaman cendawan sebelum ini, juga di bawah naungan Projek Komuniti Parlimen Padang Besar.
“Tanaman gac dipilih kerana potensi kesihatannya yang tinggi serta peluang pasaran yang luas. Ia diusahakan di kawasan kurang daripada satu ekar dan dijangka mula menuai hasil dalam tempoh tiga bulan, bergantung kepada kadar kemenjadian pokok,” katanya lagi.
Pihak terlibat juga merancang untuk menambah penanaman sehingga 1,000 pokok bagi fasa seterusnya.

Menurut Rushdan, hasil tanaman akan dibeli oleh syarikat RockHerbs, yang turut menjadi rakan strategik dalam menjamin pasaran dan memproses hasil pertanian ke dalam bentuk komersial.
“Projek ini bukan sahaja memperkasakan komuniti OKU dari sudut ekonomi, malah memberi peluang kepada mereka membina kemahiran pertanian dan pengurusan projek secara berstruktur.
“Kita melihat projek ini sebagai model pembangunan komuniti yang inklusif, selari dengan prinsip Matlamat Pembangunan Mampan yang menekankan tiada siapa harus tertinggal.
“Usaha ini diharap dapat diperluaskan ke komuniti lain dan menjadi inspirasi kepada lebih ramai OKU untuk menceburi bidang pertanian berasaskan inovasi dan keperluan pasaran semasa,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 20/6/2025











