
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia menggesa kerajaan mengkaji semula dasar kawalan tembakau susulan pembatalan elemen Generational End Game (GEG) dalam Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023.
Exco Dewan Pemuda PAS Malaysia, Faizzuddin Mohd Zai berkata, langkah itu penting bagi memastikan dasar kesihatan awam negara kekal progresif, menjimatkan dana negara dan melindungi generasi muda daripada ketagihan nikotin.
“Pemuda PAS mengambil maklum kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu program di Putrajaya baru-baru ini yang menyeru agar usaha menyelesaikan isu ketagihan dadah dan vape ditingkatkan.
“Namun, kami mempersoalkan komitmen sebenar Kerajaan Madani kerana dasar-dasar terdahulu jelas bertentangan dengan aspirasi itu,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di media sosial, hari ini.
Dalam pada itu, beliau merujuk tindakan kerajaan pada 2023 apabila Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, mengeluarkan cecair nikotin daripada senarai racun di bawah Akta Racun 1952 tanpa peruntukan kawalan undang-undang yang menyeluruh.
“Tindakan ini menyebabkan penjualan produk vape nikotin menjadi lebih terbuka, bahkan melibatkan remaja. Ini bukan sahaja bertentangan dengan objektif kesihatan awam, malah memperlihatkan sikap ‘cakap tak serupa bikin’ oleh pimpinan negara,” katanya.
Menurut Faizzuddin lagi, alasan kerajaan menggugurkan GEG kerana bimbang wujud dua set layanan berbeza berdasarkan tahun kelahiran adalah lemah dan tidak konsisten.
“Banyak undang-undang sedia ada seperti lesen memandu atau urusan perbankan juga menetapkan perbezaan berdasarkan umur. Ia tidak pernah dianggap diskriminasi,” katanya.
Tambahnya, negara-negara seperti United Kingdom, New Zealand dan beberapa bandar di Amerika Syarikat telahpun meluluskan undang-undang yang menyekat penjualan rokok berdasarkan tahun kelahiran, walaupun mereka jauh lebih lantang memperjuangkan hak asasi manusia.
“Lebih membimbangkan, data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menunjukkan kos rawatan bagi seorang pesakit EVALI (penyakit paru-paru berkaitan vape) boleh mencecah RM150,000 untuk tempoh 12 hari rawatan.
“Malah, kerajaan membelanjakan lebih RM16 bilion setahun bagi merawat penyakit berkaitan rokok, jauh melebihi hasil cukai daripada produk tersebut,” jelasnya lagi.
DPPM turut menegaskan bahawa penarikan semula GEG dan sikap longgar terhadap vape berisiko memberi kesan jangka panjang yang buruk kepada sistem kesihatan dan sosioekonomi negara. – HARAKAHDAILY 20/06/2025











