UBES anjur I-MYSK hangatkan perjuangan Palestin

- Advertisement -

KOTA BHARU: Urus Setia Belia dan Sukan (UBES) akan menganjurkan International Muslim Youth Summit Kelantan (I-MYSK): Echo of Palestine – Voice of The Voiceless pada 20 dan 21 Jun ini.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat, Zamahkshari Muhammad berkata, program itu menjadi wadah sokongan anak muda bagi menghangatkan semula isu Palestin.

Beliau berkata, pihaknya berhasrat menerusi aspirasi Kelantan Future State 2033, mengarusperdanakan suara belia Kelantan sebagai pemimpin global berkaliber selain mampu mencetus perubahan.

“Usaha ini merupakan platform solidariti dan inisiatif strategik anak muda untuk mengangkat isu Palestin ke pentas antarabangsa melalui suara dan tindakan belia Islam seluruh dunia.

“Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Mohd Nassuruddin Daud bakal menyampaikan ucapan sekali gus menyempurnakan majlis perasmian majlis ini,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apam Putra itu berkata, UBES turut menganjurkan persidangan antarabangsa pada 21 Jun yang menghimpunkan lebih 150 peserta dari seluruh pelusuk dunia.

Menurutnya semua wakil negara seperti Palestin, Turkiye, Pakistan, Mesir dan sebagai sudah mengesahkan kehadiran termasuk lebih 50 buah NGO yang memperjuangan nasib rakyat Palestin yang tertindas.

Beliau berkata, ia menampilkan wakil tokoh seperti Faizal Tahir, Ahmet Hakam Kesimoglus, Dr Khalid el Awaisi, Dr Muhammad Osama Shafiq, Ahmad Faezal, Azri Ramli (Caprice) dan Muhammad Nadir al Nuri.

“Kita berharap agar persidangan pada kali ini akan menatijahkan satu keputusan dan idea baru yang praktikal bagi membantu rakyat dan pembebasan Palestin secara strategik dan berkesan.

“Serta dapat memberi kesedaran kepada seluruh rakyat Kelantan dan Malaysia bahawa isu Palestin adalah isu kemanusiaan yang wajib dipikul oleh semua tanpa mengira agama dan bangsa,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/6/2025

- Advertisement -