Perlis GSA FC sah sertai Liga A1 Semi-Pro

Perlis GSA FC
- Advertisement -

KANGAR: Bola sepak Perlis kembali mengaum apabila Guar Syed Alwi FC (GSA FC), yang kini dikenali secara rasmi sebagai Perlis GSA FC, mengesahkan penyertaan dalam saingan Liga A1 Semi-Pro musim ini.

- Advertisement -

Pengumuman itu sekali gus memberi sinar baharu kepada rakyat negeri ini yang sudah lama menantikan kemunculan semula wakil dari Perlis dalam Liga Malaysia, selepas zaman kegemilangan pasukan Singa Utara suatu ketika dahulu.

Perlis GSA FC layak secara merit selepas muncul juara Liga A2 musim lalu dan kini mara setapak lagi dalam usaha ke Liga Super.

Presiden Perlis GSA FC, Izizam Ibrahim berkata, penyertaan kelab itu telah disahkan selepas perbincangan bersama pengurusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Amatur (AFL).

Izizam Ibrahim

“Alhamdulillah, semua dipermudahkan. Saya boleh umum di sini, sah kita sudah masuk Liga A1. Insya-Allah selepas ini, kita akan usaha cari dan membuka peluang kepada mana-mana pihak ingin membantu pasukan ini,” katanya.

Izizam yang juga Exco Kerajaan Negeri memaklumkan bahawa pihak kerajaan negeri serta Menteri Besar sendiri dijangka akan membuat pengumuman khusus berkaitan bantuan kepada pasukan itu dalam masa terdekat.

Penyertaan Perlis GSA FC dalam Liga A1 turut diumumkan bersama 11 lagi pasukan lain iaitu Armed Forces FC, Manjung City FC, Imigresen FC II, Johor Darul Ta’zim II, Selangor FC II, Kelantan WTS FC, Kedah FA, Machan FC, Kelantan Red Warriors FC, Bunga Raya FC dan Malaysian University serta PAFA.

Sementara itu, tiga lagi pasukan diberikan kelulusan bersyarat iaitu Kedah Darul Aman (KDA), Seoul Phoenix FC yang berpengkalan di Lembah Klang dan Perlis GSA FC sendiri.

Bola sepak Perlis pernah mencapai kemuncak kegemilangan sekitar 2004 hingga 2008 dengan kejayaan menjulang Piala Malaysia dua kali (2004 dan 2006), Liga Super 2005 serta Piala Sumbangsih sebanyak dua kali.

Namun, sejak lebih sedekad lalu, Perlis seakan lenyap daripada peta bola sepak negara, sebelum kini disemarakkan kembali melalui penampilan Perlis GSA FC.

“Penyertaan Perlis GSA FC juga bakal merancakkan kembali bola sepak di Perlis yang sememangnya sangat dinanti-nantikan oleh rakyat,” tambah Izizam. – HARAKAHDAILY 18/6/2025

- Advertisement -