
KUALA LUMPUR: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) oleh Kerajaan Madani sebagai tindakan menekan rakyat yang sedia terbeban dengan kos sara hidup.
Menurut beliau, daripada 8,094 barangan yang sebelum ini dikecualikan daripada SST, hanya 1,813 barangan sahaja yang masih kekal dikecualikan, menjadikan lebih 90 peratus barangan kini dikenakan cukai tersebut.
“Apakah sebenarnya dasar cukai kerajaan? Kononnya Kerajaan Madani hanya mengenakan cukai ke atas golongan maha kaya dan mengagihkannya semula kepada golongan miskin seperti ‘Robin Hood’ hanyalah sandiwara. Ia ternyata suatu pembohongan. Buah epal, pisang dan oren pun dikenakan cukai.
“Ini bukan makanan orang kaya. Ia sejak zaman berzaman adalah makanan rakyat biasa. Mencekik darah rakyat biasa menerusi cukai yang tidak masuk akal semata-mata untuk menambah hasil kerajaan sebanyak RM10 bilion tidak pernah dilakukan oleh kerajaan sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut mempersoalkan ke mana hasil RM10 bilion itu akan dibelanjakan, selain mempersoalkan mengapa kerajaan tidak menunggu sehingga pembentangan Bajet 2026 bagi membolehkan peluasan SST ini dibahaskan secara terbuka oleh ahli parlimen.
“Rakyat baru sahaja dibebankan dengan penghapusan subsidi diesel dan kenaikan kadar SST pada tahun lalu. Kini rakyat dibebankan lagi dengan cadangan kenaikan tarif elektrik dan peluasan skop SST. Selepas ini pelarasan subsidi RON95 pula akan dilaksanakan.
“Walaupun dikatakan bersasar, kesan kenaikan harga barang dan kenaikan kos sara hidup akibat peluasan skop cukai dan penghapusan subsidi akan dirasai oleh seluruh rakyat. Kesan bertimpa-timpa ini akan menyeksakan rakyat.
“Di peringkat bawah dan pertengahan yang merupakan 85 peratus daripada keseluruhan penduduk Malaysia. Ini adalah petanda bahawa kerajaan gagal mengurus ekonomi dengan baik. Apabila ekonomi tidak diurus dengan baik, hasil negara berkurang.
“Dalam keadaan ini, kerajaan menjadi seperti lintah yang setiap hari menghisap darah rakyat dengan mengenakan pelbagai cukai selain menghapuskan subsidi. Ini bukanlah sebuah kerajaan yang cekap dan prihatin kepada rakyat,” tegasnya.
Justeru, Ahli Parlimen Pagoh itu mencadangkan supaya kerajaan mempertimbangkan semula pelaksanaan GST dengan kadar yang munasabah selepas mengadakan libat urus dengan semua pihak berkepentingan.
“Saya percaya SST dalam bentuk yang dilaksanakan oleh kerajaan hari ini adalah lebih buruk kesannya kepada rakyat dan ekonomi negara berbanding dasar GST yang dilaksanakan oleh kerajaan sebelum ini.
“Tugas kerajaan ialah meringankan beban rakyat, bukan menambah beban mereka. Jika perkara yang paling asas ini pun tidak dapat dilaksanakan, maka kerajaan Madani telah gagal dan wajar ditolak oleh rakyat,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/6/2025











