
KLANG: Penduduk Kampung Jawa dipukul oleh sekumpulan individu yang dikenali sebagai ‘gengster kontraktor’ ketika cuba mempertahankan kawasan perumahan di tapak projek jambatan Lebuhraya Pantai Barat (WCE).
Pesara polis, Selventhiran Muniandy berkata, kejadian berlaku pada 10 Jun lalu apabila kumpulan kontraktor itu cuba merobohkan jambatan serta beberapa buah rumah penduduk tanpa sebarang surat perintah mahkamah atau dokumen rasmi daripada pihak berkuasa.
“Sebelum itu memang kita ada gangguan daripada kontraktor yang digelar ‘gengster WCE’ cuba menghalau kita dengan pelbagai taktik. Sebenarnya kita minta surat tapi mereka tidak dapat berikan sebarang surat dan surat mahkamah langsung tidak ada.
“Mereka datang macam ‘Ali Baba’ dia terus ugut, dan berjaya robohkan empat buah rumah. Pada 9 pagi, saya terima panggilan daripada salah satu penduduk mengatakan mereka (WCE) cuba nak robohkan semua jambatan di depan ini.
“Itupun sebelum itu, mereka ada cabar dan ugut kita, ‘kalau kamu semua tak ada keluar, kita nak robohkan jambatan ini semua, kita nak tengok macam mana kamu semua keluar dari tempat ini’,” katanya selepas sidang media di Lot 11113, Kampung Mariamman, Batu 4, Kampung Jawa, di sini kelmarin.
M Selventhiran yang juga Presiden Persatuan Perpaduan Sejahtera Kebangsaan, berkata beliau bergegas ke tempat itu pada jam 10 pagi dan terdapat berlaku pertelingkahan yang hangat berlaku di antara penduduk dan gengster itu.
“Mula-mula mereka (gengster WCE) lima orang lepas itu mereka ada lebih kurang dalam 12 hingga 15 orang, jadi ramai,” katanya.
Beliau berkata, terdapat beberapa orang awam yang melalui kawasan itu turut campur tangan untuk membantu penduduk.
“Kita pun dapat perhatian sebab kejadian ini terjadi pada siang kan, ada banyak kereta lalu. Jadi penduduk ramai yang tak terlibat pun tolong kita dan dia cuba singgah, tapi berlaku lagi pergaduhan,” katanya.
Beliau berkata, polis tiba kira-kira jam 11.30 pagi, namun insiden kekal tidak terkawal apabila berlaku pergaduhan sehingga menyaksikan Selventhiran ditumbuk salah seorang gengster itu.
“Pada pukul 11.30 pagi, pasukan polis datang, kemudian kereta peronda pun datang dan berbincang. Selepas setengah jam, lebih kurang tujuh anggota polis dari Unit Rondaan Bermotosikal (URB) datang sini, jadi berlaku pertelingkahan dan bermaki-memakian. Kita arahkan (yang ini semua berlaku depan polis) pemandu jentolak suruh keluar dan alihkan jentolak.
“Pemandu jentolak cakap, ‘tak boleh, kalau nak saya alihkan saya nak RM10,000’. Dia (pemandu jentolak) buat peras ugut, dia nak RM10,000 baru dia nak keluar (dari jentolak dan kawasan itu), jadi kita penduduk memang marah dan dia datang rumah,” katanya.
Beliau berkata, sekiranya terdapat pihak hendak merobohkan sesuatu rumah atau kawasan walaupun setinggan mereka perlu mempunyai perintah mahkamah terkini.
“Selain itu, surat kelulusan dari pejabat tanah, kehadiran penguatkuasa pejabat tanah, polis dan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) akan turun, dan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK).
“Tapi tanpa kehadiran lima-lima ini mereka bertindak agresif, saya pun memang tak faham macam mana Kerajaan Madani ini membenarkan mereka bertindak begitu.
“Mereka sangat tak waras, semua di belakang WCE. WCE yang menghantar orang ini. Jadi pada masa itu, tiba-tiba seorang gengster telah tumbuk saya dan menyebabkan saya jatuh. Selepas itu, satu penduduk telah bertindak dan berlaku pergelutan sampai polis pun tak boleh nak kawal,” katanya.
Beliau berkata, pergelutan berlarutan sehingga jam 2.30 petang sebelum keadaan mulai reda apabila kumpulan itu beredar, namun jentera berat masih ditinggalkan di lokasi.
“Sebelum itu, adik saya ada di rumah. Kejadian berlaku di sebelah sana. Memang dia pegang parang sebab rasa terancam, tapi gengster itu pula yang buat laporan polis, konon adik saya mengugut mereka.
“Tak lama lepas itu, seorang sarjan datang dan terus nak tangkap adik saya. Tapi masa saya minta polis semak kad pengenalan (IC) mereka (gengster WCE) langsung tak buat. Saya kecewa dan sedih kenapa tindakan hanya diambil terhadap kami, bukan mereka yang menceroboh?” katanya.
Namun, beliau kemudiannya membuat laporan polis dan dibawa ke Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Klang Selatan untuk siasatan lanjut.
“Saya beri keterangan dan pegawai penyiasat (IO) beritahu kes disiasat bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan. Saya diarahkan ke hospital untuk X-ray, doktor beri ubat dan saya lengkapkan borang laporan perubatan untuk diserahkan semula kepada pihak polis.
“Tuan (polis) cakap, tindakan akan diambil, tapi sampai sekarang saya tidak menerima sebarang perkembangan bagaimana dengan keadaan kes saya,” katanya.
Sebelum itu, wakil penduduk, Chandra Kumar, berkata penduduk bukan sahaja diancam, malah diserang secara fizikal namun tiada sebarang tindakan tegas diambil terhadap pelaku meskipun laporan telah dibuat.
“Selasa lepas, mereka (kontraktor) masuk, mereka cuba nak teruskan kerja-kerja pembersihan dan berlaku pertelingkahan. Satu daripada penduduk kami kena tumbuk dan adik dia pula kena tahan polis.
“Akhirnya, kita buat laporan polis dan sampai sekarang kita tak tahu apa yang pihak polis ambil tindakan ke atas pelaku itu. Jadi itulah isunya buat masa ini,” katanya.
Terdahulu, polis menerima dua laporan berhubung satu pergaduhan antara pihak kontraktor dan orang ramai di Kampung Jawa, di sini, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Ramli Kasa berkata, pihaknya terkesan dengan video yang memaparkan pertelingkahan antara kedua-dua pihak berdurasi 24 saat pada Selasa.
“Ekoran daripada pertelingkahan tersebut, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan telah menerima dua laporan polis. Bahagian Siasatan Jenayah IPD Klang Selatan telah menjalankan siasatan membabitkan kedua-dua laporan tersebut,” katanya.
Jelasnya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan atas kesalahan ugutan jenayah dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan atas kesalahan mendatangkan kecederaan.
Dalam memastikan ketenteraman awam dipelihara katanya, IPD Klang Selatan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak.
Selain itu menurutnya, pihak polis menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil sebarang tindakan yang boleh menjejaskan keharmonian dan keamanan awam.
“Pihak polis menasihatkan orang ramai supaya mengambil tindakan mengikut saluran undang-undang yang sedia ada,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 18/6/2025











