
KOTA BHARU: Kerajaan negeri menyasarkan lebih 10,000 bakal membanjiri program kemuncak International Muslim Youth Summit Kelantan (I-MYSK): Echo of Palestine – Voice of The Voiceless.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat, Zamahkshari Muhammad berkata, acara ‘Himpunan 10,000 Untukmu Palestin’ sebagai wadah rakyat meluahkan solidariti terbuka.
Beliau turut meminta seluruh rakyat dapat meluangkan masa menghadiri majlis pada malam 21 Jun di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV ketika konflik di Timur Tengah terus memuncak.
“Kita sasarkan kehadiran lebih 10,000 melibatkan seluruh masyarakat yang cintakan kedamaian dan mendukung pembebasan Palestin dan menjadi medan rakyat suarakan solidariti terbuka.
“Himpunan ini merupakan kemuncak kepada keseluruhan program, Himpunan 10,000 Untukmu Palestin berlangsung 21 Jun pada jam 9 malam di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV,” katanya.
Bercakap dalam satu sidang media di pejabatnya semalam katanya, antara aktiviti diadakan seperti persembahan nasyid In-Team, ucapan pimpinan aktivis NGO dan deklarasi Kelantan untuk Palestin.
Beliau berkata deklarasi yang dibacakan serentak oleh wakil belia menjadi ikrar anak muda dalam menyatakan sokongan kepada perjuangan membela nasib rakyat Palestin yang ditindas hari ini. – HARAKAHDAILY 18/6/2025











