Projek land fill mining komersial pertama di Malaysia

Dilancar di Beris Lalang

Projek Perlombongan Sampah (Land Fill Mining – LFM) pertama
- Advertisement -

BACHOK: Kerajaan Negeri Kelantan melancarkan Projek Perlombongan Sampah (Land Fill Mining – LFM) pertama yang berjaya dilaksanakan secara komersial di Malaysia bertempat di Tapak Pelupusan Sampah Beris Lalang, di sini.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Hilmi Abdullah berkata, projek berkenaan diusahakan oleh Pengurusan Sisa Pepejal Mubaarakan (PSPM) Sdn Bhd bersama DwiTekno Solutions sebagai pendekatan inovatif memperkasakan pengurusan sisa pepejal negeri.

PSPM merupakan syarikat usahasama antara anak syarikat PMBK iaitu Kumpulan Utilities Mubaarakan Holdings (KUM) dengan Greenviro Solutions Sdn Bhd, yang kini mengurus tiga tapak pelupusan sisa di Kelantan.

“Tiga tapak tersebut ialah Tapak Pelupusan Beris Lalang di Bachok, Tapak Pelupusan Kok Bedolah di Tumpat dan Tapak Pelupusan Bukit Che Ros di Tanah Merah.

Hilmi, sewaktu melawat tapak pelupusan sampah di Beris Lalang

“Kesemua tapak ini telah berjaya dinaik taraf oleh PSPM daripada ‘open dumping site’ kepada ‘sanitary landfill’,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guchil.

Menurut beliau, projek LFM yang digabungkan dengan teknologi Bio-Drying membolehkan sisa lama atau ‘legacy waste’ yang dilupus sejak puluhan tahun lalu dilombong semula untuk pemulihan tapak secara menyeluruh.

Katanya, sisa dilombong akan disaring melalui sistem Material Recovery Facility (MRF) bagi mengasingkan bahan seperti plastik, logam dan kaca serta menghasilkan Refuse Derived Fuel (RDF) daripada sisa lain yang sesuai dijadikan bahan api alternatif.

Tambahnya, sebelum proses pengasingan, sisa tersebut akan melalui rawatan bio-drying yang berfungsi mengurangkan bau, menyahaktif patogen dan mempercepatkan pengeringan bahan organik sehingga menghasilkan baja kompos selamat serta bernilai.

Beliau berkata, projek ini merupakan pelaburan strategik bukan sahaja dalam aspek pengurusan sisa pepejal, malah menyumbang kepada pemulihan alam sekitar dan peningkatan sektor pertanian serta ekonomi negeri secara jangka panjang.

“Saya percaya inisiatif ini akan mengurangkan kebergantungan terhadap tapak pelupusan konvensional.

“Selain itu, ia menyokong peralihan kepada ekonomi kitaran selaras dengan Dasar Kelestarian Alam Sekitar Negeri, Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) serta gagasan Kelantanku Bersih Kelantan Hijau,” katanya.

Hilmi berkata demikian semasa merasmikan Projek LFM dan melakukan lawatan kerja ke tapak pelupusan berkenaan selepas menghadiri Mesyuarat Pre-Council Exco. – HARAKAHDAILY 18/6/2025

- Advertisement -