Gelanggang Seni Kota Bharu terus dihidupkan

Semarak warisan budaya tradisional

Datuk Kamarudin beramah mesra dengan beberapa orang pelancong yang datang menyaksikan persembahan kebudayaan di Gelangang Seni
- Advertisement -

KOTA BHARU: Persembahan seni budaya tradisional seperti rebana ubi, tiupan serunai dan gasing pangkah terus menjadi tarikan utama di Gelanggang Seni Kota Bharu, kata Datuk Kamarudin Md Nor.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri itu berkata, penganjuran persembahan sebegitu bukan sahaja menghidupkan kembali nilai tradisi, malah menjadi jambatan budaya menyatukan masyarakat pelbagai latar belakang.

“Menariknya, persembahan kali ini turut disaksikan oleh pengunjung dari Scotland dan Negeri Sembilan yang jelas terpesona dengan keunikan warisan seni Kelantan.

Bersama dengan ahli kebudayaan yang membuat persembahan di Gelangang Seni

“Ini membuktikan budaya tradisional kita mampu melangkaui sempadan dan diterima pelbagai bangsa dan latar budaya,” katanya di sini.

Gelanggang Seni Kota Bharu yang dibuka sejak 1970-an dikenali sebagai pusat kegiatan kesenian dan kebudayaan rakyat Kelantan.

Pelbagai aktiviti kebudayaan diadakan di situ sepanjang tahun, menjadikannya ruang penting bagi memelihara dan mempromosikan warisan budaya tempatan.

“Saya amat mengharapkan generasi akan datang terus melibatkan diri dan belajar mengenai akar budaya masing-masing, supaya warisan yang bernilai ini tidak lapuk ditelan zaman,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 18/6/2025

- Advertisement -