Kebebasan media hanya retorik janji Anwar Ibrahim

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kenyataan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang menyatakan komitmen terhadap ekosistem maklumat bebas, bertanggungjawab dan seimbang adalah jauh berbeza dengan realiti semasa berkaitan kebebasan media di Malaysia.

- Advertisement -

Ketua Portfolio Komunikasi Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, tindakan kerajaan pimpinan Anwar sebaliknya terus memperlihatkan pendekatan tidak konsisten dan bersifat represif terhadap suara media yang bebas dan kritikal.

“Undang-undang menindas masih diguna, seperti Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 untuk menyiasat pengguna media sosial, wartawan dan aktivis yang menyuarakan pandangan kritikal.

“Rakyat sudah tidak mudah tertipu dengan ucapan manis, kerana rakyat boleh melihat sendiri bagaimana undang-undang menindas terus diguna pakai,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook.

Tambah Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu, terdapat banyak insiden di mana portal berita, wartawan, dan aktivis media sosial menerima tekanan melalui siasatan, panggilan polis atau Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), dan pelbagai tindakan lain.

“Terutama apabila menyentuh isu yang dianggap sensitif oleh mereka yang berkuasa. Ini mencerminkan penggunaan kuasa secara selektif terhadap media. Malah, tekanan kepada kebebasan melapor juga berlaku apabila alasan ‘3R’ (Raja, Agama, Kaum) digunakan secara longgar dan tidak jelas.

“Malahan, ada pemimpin politik kini sedang disiasat dan didakwa di bawah Akta Hasutan yang selama ini dikatakan satu akta zalim oleh Anwar Ibrahim sendiri. Namun, akta yang dia pernah kritik itulah yang digunakan untuk membenam suara rakyat.

“Contoh terkini yang sering disebut-sebut ialah bagaimana akaun Facebook Lim Sian See yang sering mendedahkan kepincangan pentadbiran tiba-tiba lenyap, dan begitu juga Aliff Ahmad yang ditekan oleh penguasa hanya kerana mencuit anak kesayangan Anwar Ibrahim,” ujarnya.

Justeru, beliau menggesa pengamal media untuk sama-sama mendesak kerajaan memansuhkan segera penggunaan Akta Hasutan dan menyemak semula Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia agar diselarikan dengan semangat kebebasan bersuara yang tulin.

Selain menyeru pihak berkuasa, pakar undang-undang, ahli akademik atau pengamal media untuk mendesak agar satu definisi yang jelas diberikan terhadap ‘batas 3R’ agar tidak disalahgunakan untuk menutup ruang demokrasi.

“Untuk benar-benar meraikan HAWANA (Hari Wartawan Nasional) 2025, ucapan retorik kosong bukan caranya. Jika benar mahu media menjadi tonggak amalan demokrasi, sepatutnya kerajaan segera menghentikan tekanan terhadap pengamal media, baik media tradisional mahupun media sosial.

“Jika benar Anwar Ibrahim masih berpegang kepada prinsip reformasi, beliau mesti buktikan melalui tindakan tegas memperkukuh kebebasan media bukan sekadar memperindah fantasi dengan ucapan lunak dan habuan dana,” katanya.

Anwar ketika berucap merasmikan HAWANA 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada 14 Jun lalu mendakwa kebebasan media adalah antara tonggak utama amalan demokrasi yang perlu terus dipertahan dan diperkukuhkan di negara ini.

Menurutnya, media perlu terus memainkan peranan sebagai penyampai kebenaran dan bukan hanya menjadi alat kepada sesetengah pihak berkepentingan untuk memaksa masyarakat menerima sesuatu tanpa ruang kepada perbezaan pendapat. – HARAKAHDAILY 18/6/2025

- Advertisement -