
KANGAR: Sebanyak lebih 2,000 kekosongan jawatan ditawarkan kepada anak-anak Perlis sempena Karnival Kerjaya, Pendidikan dan Keusahawanan MYFutureJobs 2025 yang akan berlangsung pada 21 dan 22 Jun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia Negeri Perlis, Muhammad Azmir Azizan berkata, karnival anjuran Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) ini membuka peluang besar buat rakyat Perlis membina kerjaya dan masa depan yang lebih cerah.
Beliau berkata, program tersebut akan berlangsung di Dewan Warisan Kangar, bermula jam 9 pagi hingga 5 petang pada hari Sabtu dan Ahad ini.
“Sebanyak lebih 25 majikan akan terlibat dalam sesi temu duga terbuka sepanjang dua hari karnival itu,” katanya.
Justeru, beliau menyeru rakyat Perlis untuk hadir dan merebut peluang ini sebaiknya.
“Peluang dah ada, jadi mailah. Sama-sama kita jayakan karnival ini,” ujar beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Santan.
Sebagai tambahan, karnival ini turut menampilkan taklimat pendidikan tinggi, serta slot keusahawanan digital bersama TikTok Shop bagi menarik minat golongan belia.
Selain itu, pengunjung juga berpeluang menyertai aktiviti seperti pendaftaran portal MYFutureJobs, kaunseling kerjaya, dan cabutan bertuah.
Beberapa trak makanan turut disediakan bagi memberi kemudahan kepada pengunjung yang hadir bersama keluarga.
Masuk adalah percuma, namun semua pencari kerja digalakkan membawa resume dan berpakaian kemas.
Karnival ini turut menjadi antara pengisian sempena Sambutan Jubli Perak Pemerintahan Raja Perlis, sebagai simbol komitmen negeri terhadap pembangunan modal insan dan peluang kerjaya yang inklusif. – HARAKAHDAILY 18/6/2025











