AI for Educators: Komunikasi Madani jelas gagal

Arif Ainuddin
- Advertisement -

JOHOR BAHRU: Dewan Pemuda PAS Kawasan Johor Bahru menyatakan kebersamaan dengan guru-guru di seluruh negara yang bergelut dengan kekangan masa, beban tugasan harian, pengurusan kokurikulum, dokumentasi dan tanggungjawab menyelesaikan silibus.

- Advertisement -

Ketua Penerangannya, Arif Ainuddin Mohd Razali berkata, pihaknya turut melahirkan rasa empati kepada luahan guru-guru yang dikatakan terpaksa meluangkan masa mengikuti latihan dalam talian AI for Educators.

“Latihan ini datang bersama satu emel rasmi daripada Bahagian Profesionalisme Guru (BPG) yang menggunakan perkataan ‘mandatori’ dan yang boleh disalah erti sebagai suatu bentuk arahan.

“Tafsiran arahan ini dikuatkan lagi dengan tarikh akhir dan tindakan susulan pihak pentadbiran dan jabatan yang menaikkan nama guru-guru yang belum mengikuti kursus tersebut.

“Ketidakpuasan hati ini ditambah lagi apabila dikatakan bahawa kursus ini bertujuan untuk mencipta rekod di dalam Malaysian Book of Records. Perkara ini cuba dinafikan oleh sesetengah pihak pada awalnya.

“Tetapi perkongsian tangkap layar slaid SiPP (Sistem Pengurusan Pembelajaran) telah tersebar bagi menyatakan perkara ini. Hal ini mengundang pertanyaan besar tentang objektif sebenar program ini,” katanya menerusi satu kenyataan.

Beliau turut mempersoalkan kenyataan pegawai khas kepada Menteri Pendidikan yang dilihat seolah-olah mengetepikan keluhan para guru serta mengelirukan masyarakat dengan perbahasan semantik berkenaan istilah ‘mandatori’ yang digunakan dalam surat edaran.

“Sedangkan realitinya berbeza. Sehingga kini, Kementerian Pendidikan Malaysia masih tidak memberikan penjelasan rasmi tentang letak duduk kursus ini. Inilah bukti nyata kegagalan komunikasi dalam sistem pendidikan yang semakin kritikal.

“Keadaan ini bakal menjejaskan kepercayaan warga pendidik terhadap kementerian. Malah, perkara ini memperlihatkan wajah Kerajaan Madani yang lebih ghairah mengejar gimik, peluncuran, angka dan pencapaian luaran.

“Berbanding pembinaan dan pengukuhan sistem yang mapan dan berkesan. Jika ini cerminan kepimpinan pendidikan negara, maka menterinya harus bertanggungjawab dan wajar meletakkan jawatan atas siri kegagalan yang tidak berkesudahan,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/6/2025

- Advertisement -