
KUALA LUMPUR: Prosedur rawatan yang dijalani Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang telah disahkan berjaya, demikian maklum anakanda beliau, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi, sebentar tadi.
“Alhamdulillah prosedur yang dijalani TG (Tuan Guru) berjaya dilaksanakan. Terima kasih kepada semua yang mendoakan. Sama-sama kita teruskan doa untuk kesembuhan TG,” katanya dalam status dimuat naik di media sosialnya.
Terdahulu, Muhammad Khalil yang juga Pengerusi Lujnah Antarabangsa dan Hal Ehwal Antarabangsa PAS Pusat memaklumkan bahawa ayahandanya akan menjalani satu prosedur rawatan pada hari ini (17 Jun).
“Insya-Allah, Ayahanda Tuan Guru akan menjalani suatu prosedur rawatan esok (17 Jun). Justeru saya mewakili pihak keluarga memohon agar didoakan kesihatan dan kesembuhan buat Ayahanda Tuan Guru,” katanya.
Sementara itu, semua cawangan PAS di Terengganu diarahkan mengadakan solat hajat malam semalam bagi mendoakan kesejahteraan Tuan Guru menjelang rawatan tersebut.
Setiausaha PAS Terengganu, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, solat hajat itu sebagai usaha memohon kepada Allah SWT agar segala urusan rawatan dipermudahkan dan dikurniakan kesembuhan sepenuhnya.
“Marilah kita bersama memanjatkan doa agar Allah SWT memudahkan segala urusan rawatan dan mengurniakan kesembuhan sepenuhnya kepada Tuan Guru kesayangan umat,” katanya dalam satu kenyataan.
Setiausaha Politik Presiden PAS, Mohd Syahir Che Sulaiman memaklumkan, atas nasihat doktor, tiada pelawat dalam masa terdekat dan beliau memohon doakan kesembuhan untuk Ayah Chik tercinta. – HARAKAHDAILY 17/6/2025











