Kerajaan Madani hanya pandai perah keringat rakyat

Aireroshairi Roslan
- Advertisement -

KUANTAN: PAS Pahang menyifatkan Kerajaan Madani pimpinan Dato’ Seri Anwar Ibrahim gagal melindungi kepentingan rakyat apabila melaksanakan tiga dasar ekonomi baharu yang dijangka meningkatkan beban kewangan rakyat dan peniaga pada separuh kedua tahun ini.

- Advertisement -

Ketua Penerangan PAS Pahang, Ustaz Aireroshairi Roslan berkata, pelaksanaan peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), kenaikan tarif asas elektrik serta pelaksanaan subsidi bersasar bagi RON95 menjadi bukti kerajaan tidak cekap mengurus ekonomi negara.

“Perluasan skop SST bermula 1 Julai ini, kenaikan tarif asas elektrik dan pelaksanaan subsidi bersasar RON95 adalah bukti nyata bahawa kerajaan ini hanya pandai memerah keringat rakyat untuk menutupi ketidakcekapan pengurusan ekonomi negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau turut membidas tindakan kerajaan memperluas senarai barangan dikenakan SST daripada 62 muka surat kepada 222 muka surat, yang menurutnya membuktikan kerajaan tidak berperikemanusiaan.

“Gambaran kerajaan bahawa peluasan ini hanya melibatkan barangan premium adalah satu penipuan besar kepada rakyat kerana hakikatnya, kesemua lapisan masyarakat akan terkesan dengan dasar ini,” katanya.

PAS Pahang juga mempersoalkan penangguhan pelaksanaan peluasan skop SST dari 1 Mei ke 1 Julai, yang menurutnya menunjukkan kerajaan tidak mempunyai perancangan kukuh dan tergesa-gesa dalam membuat keputusan dasar.

“PAS Pahang amat kecewa dengan ketidakstabilan polisi kerajaan yang menunjukkan ketiadaan kerangka percukaian yang holistik dan jelas. Bagaimana rakyat boleh yakin dengan kerajaan yang membuat keputusan secara tergesa-gesa tanpa kajian mendalam?

“Ini adalah satu penghinaan kepada rakyat yang mempercayai mereka untuk mentadbir negara dengan bijaksana,” katanya.

Menurut Aireroshairi, pengenaan cukai 8 peratus terhadap perkhidmatan penting seperti sewaan, pembinaan, kewangan dan pendidikan bakal meningkatkan kos operasi peniaga, selain kenaikan tarif elektrik yang dijangka memberi kesan berganda terhadap harga barangan dan perkhidmatan.

“Rakyat kini terpaksa menanggung beban lebih berat melalui kenaikan harga barang dan perkhidmatan. Kerajaan Madani seolah-olah tidak peduli dengan penderitaan rakyat yang sudah tercekik dengan kos sara hidup yang tinggi.

“Yang paling mengecewakan ialah pelaksanaan subsidi bersasar RON95 tanpa definisi yang jelas tentang kumpulan T15 yang akan terkesan. Sehingga kini, kerajaan masih gagal memberikan penjelasan yang memuaskan kepada rakyat tentang kriteria pengelasan ini,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, PAS Pahang mendesak kerajaan membatalkan semua dasar yang dianggap membebankan rakyat dan menggesa agar satu kerangka percukaian adil serta jaringan keselamatan sosial sistematik sebelum melaksanakan sebarang dasar baharu.

“Rakyat Pahang dan seluruh Malaysia berhak mendapat kerajaan yang prihatin, bukan kerajaan yang hanya pandai mengaut hasil tanpa memikirkan kesejahteraan rakyat,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/6/2025

- Advertisement -