
SHAH ALAM: Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor, Sabirin Marsono menyelar kenyataan Perdana Menteri ke-10 (PMX), Dato’ Seri Anwar Ibrahim, yang memberi tafsiran mengelirukan berhubung Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
“PMX perlu memahami dan menerima hakikat bahawa di antara tugas pembangkang adalah untuk tidak bersetuju, menjadi semak imbang dan tidak semestinya semua yang dibangkang itu salah.
“Inilah juga apa yang dilakukan PMX sewaktu bergelar pembangkang dahulu,” ujarnya dalam kenyataan.
Menurut beliau, kenyataan PMX yang mentafsir GST sebagai ‘General Service Tax’ dan SST sebagai cukai yang hanya dikenakan terhadap barangan import amat mengejutkan.
“Penafsiran semula yang tidak pernah terlintas di pemikiran rakyat. Rakyat bukan bodoh wahai PMX,” tempelaknya.
Sabirin turut mempersoalkan pendirian PMX ketika menjadi pembangkang dahulu yang begitu lantang membantah GST, walaupun kini dilihat tidak memahami sistem percukaian itu.
“Sewaktu bergelar pembangkang, PMX sangat ganas (ferocious) dalam membantah pelaksanaan GST oleh kerajaan. Hari ini rakyat jadi bingung mengenai bagaimana PMX boleh membangkang GST pada waktu itu.
“(Ia) apabila secara jelas pada hari ini terbukti bahawa PMX sebenarnya tidak memahami dan mempunyai tafsiran yang jauh menyeleweng mengenai GST dan SST ini serta kaedah dan pelaksanaannya,” tegasnya.
Beliau turut menzahirkan kebimbangan terhadap dasar kerajaan di mana mungkin dilaksanakan berdasarkan pemahaman yang salah.
“Rakyat sebenarnya sangat gusar kerana kelihatannya Perdana Menteri merangkul Menteri Kewangan akan melaksanakan sesuatu polisi besar dengan maksud yang salah.
“PMX tampak terlalu tergesa-gesa dengan kenyataan-kenyataan cuai dan hujah yang tidak tuntas dalam cubaan untuk meyakinkan rakyat,” kupasnya.
Menurut beliau, rancangan peluasan pelaksanaan SST turut mengundang kebimbangan meluas.
“Peluasan pelaksanaan SST yang sedang dirancang kerajaan PMX bukan hanya mengundang cemas kepada rakyat kebanyakan.
“(Ia) bahkan pengilang, pengeluar produk tempatan dan industri besar juga mulai bimbang akan kesan kepada kos sara hidup rakyat dan sudah mula menyuarakan bantahan mereka,” terangnya.
Justeru, beliau mencadangkan supaya kursus yang dicadangkan kepada pembangkang turut dihadiri PMX sendiri.
“(Juga wajar dihadiri) penasihat-penasihat beliau supaya PMX dapat duduk berbincang dengan pembangkang serta menambahkan kefahaman PMX pada perkara asas berkaitan GST dan SST.
“Amat mengaibkan jika PMX terus-menerus memberi kenyataan yang salah penuh emosi dan menjadi bahan lelucon rakyat; hilang hormat dan keyakinan rakyat, malu negara di mata dunia,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/6/2025











