Cukai pelabuhan juga alami kenaikan 30 peratus

Bakal jejaskan sektor pengeluaran dan eksport

Bakri Jamaluddin
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kenaikan cukai pelabuhan sehingga 30 peratus bermula 1 Julai nanti akan memberikan kesan besar kepada pengilang, pengeksport dan pengguna.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Tangga Batu, Bakri Jamaluddin berkata, sektor pengeluaran menyumbang sebanyak 23 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

Ia katanya, merupakan sektor kedua terbesar dalam menyumbang kepada KDNK negara selepas sektor perkhidmatan.

Menurutnya, kenaikan caj pelabuhan itu akan menambahkan lagi tekanan kepada industri pengeluaran yang kini turut terkesan dari kenaikan kos operasi, tekanan ekonomi global serta 10 peratus tarif dikenakan oleh Amerika terhadap barangan Malaysia.

“Ditambah lagi dengan kenaikan tarif elektrik juga pada bulan yang sama, sudah pasti akan menjadikan industri pengeluaran dan eksport tidak kompetative serta menjejaskan ekonomi negara,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, caj pelabuhan (TEU) yang baru iaitu sekitar USD120 hingga USD130 per TEU akan menyamai caj pelabuhan di Singapura dan Hong Kong, tetapi lebih tinggi berbanding Vietnam, Indonesia dan Thailand.

“Dengan caj yang tinggi, dibimbang akan mengurangi ‘value proposition’ pelabuhan di Malaysia dan risiko kargo dialihkan ke negara jiran yang lebih murah,” ulasnya.

Justeru itu, beliau menyeru agar kerajaan dapat mempertimbangkan semula hasrat untuk menaikkan caj pelabuhan sebanyak 30 peratus.

“(Ia) agar pelabuhan-pelabuhan negara kekal kompetatif dan tidak mengganggu sektor pengeluaran yang nantinya berdampak negatif kepada ekonomi negara dan rakyat Malaysia,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/6/2025

- Advertisement -