
KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) memandang serius kebimbangan yang semakin memuncak berikutan persaraan seramai sembilan hakim Mahkamah Persekutuan, termasuk Ketua Hakim Negara, dalam tempoh terdekat ini.
Ketua Whip Ahli Parlimen PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, gelombang perubahan itu bukan sahaja luar biasa, malah merupakan cabaran dan ujian terbesar terhadap komitmen Malaysia kepada prinsip kedaulatan undang-undang dan kebebasan badan kehakiman.
Katanya, kenyataan tegas oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat baru-baru ini adalah peringatan yang amat penting apabila beliau mengimbau kembali Krisis Kehakiman 1988 sebagai detik paling gelap dalam sejarah Perlembagaan Negara.
“Beliau mengingatkan bahawa tanggapan campur tangan politik sahaja pun sudah cukup untuk merosakkan kepercayaan rakyat terhadap institusi kehakiman,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Ahli Parlimen Kota Bharu itu berkata, walaupun penubuhan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) pada tahun 2009 dilihat sebagai pembaharuan, ketelusan dan kebebasan sebenar dalam pelantikan berkenaan masih menjadi tanda tanya, malah kembali dipersoalkan.
Katanya, dengan pelantikan Ketua Hakim Negara yang baharu serta beberapa jawatan tertinggi lain bakal dibuat, PN menyeru agar proses itu benar-benar berpandukan kepada Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang khusus berkaitan serta benar-benar bebas daripada pengaruh politik mahupun campur tangan tidak sewajarnya.
“Adalah amat mendukacitakan sekiranya benar berlakunya pertelingkahan yang tidak wajar dalam kalangan ahli-ahli JAC dalam proses pelantikan yang bakal dibuat bagi posisi-posisi tertinggi badan kehakiman negara,” jelasnya.
Sehubungan itu, PN menurutnya menyatakan empat pendirian utama bagi menjamin kebebasan badan kehakiman negara terus terpelihara.
Pertama beliau berkata, PN menegaskan bahawa pelantikan hakim perlu dilaksanakan secara telus dengan memberikan ruang sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) untuk menjalankan fungsinya tanpa sebarang tekanan politik khususnya daripada pihak eksekutif.
“Justeru nama-nama yang disyorkan hendaklah berdasarkan kelayakan, integriti dan senioriti, bukan atas hubungan atau kecenderungan politik,” gesanya.
Kedua menurutnya, PN mencadangkan supaya ditubuhkan sebuah Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen dwipartisan yang berperanan memantau proses pelantikan kehakiman.
Ia katanya untuk memantau proses pelantikan bagi menjamin akauntabiliti tanpa mengganggu kebebasan kehakiman.
“Ketiga, Perdana Menteri mesti memberi komitmen terbuka akan bertindak semata-mata berlandaskan fungsinya di bawah Perlembagaan dan undang-undang berkaitan serta tidak akan mencampuri proses pelantikan kehakiman.
“(Ia) sekali gus menghormati sepenuhnya doktrin pengasingan kuasa (the doctrine of separation of powers),” terangnya yang juga Setiausaha Agung PAS.
Keempat katanya, PN mencadangkan reformasi perundangan dilaksanakan dengan mengkaji semula pindaan terhadap Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan yang dibuat pada tahun 1988.
“Langkah ini bertujuan untuk mengembalikan kuasa asal badan kehakiman sebagai satu cabang pemerintahan yang setara dalam dalam pemerintahan (co-equal branch of government),” katanya.
Takiyuddin berkata, PN juga ingin menegaskan bahawa kebebasan kehakiman adalah asas sebuah demokrasi yang matang dan bukan suatu pilihan semata-mata.
“Rakyat Malaysia berhak kepada sistem perundangan yang dapat ditegakkan dengan ‘tanpa rasa takut atau pilih kasih’ serta tegas, adil dan bebas.
“Sesungguhnya keputusan yang diambil hari ini akan menentukan kepercayaan rakyat terhadap institusi kehakiman untuk puluhan tahun akan datang,” katanya.
Beliau berkata, PN akan terus memainkan peranan sebagai entiti semak dan imbang yang bertanggungjawab, mempertahankan kebebasan badan kehakiman daripada sebarang bentuk pengaruh atau cubaan kembali kepada era gelap pengkhianatan Perlembagaan. – HARAKAHDAILY 17/6/2025











