
KANGAR: Pembinaan kafe di kawasan Gua Cenderawasih yang sebelum ini mencetuskan kontroversi dalam kalangan masyarakat dan pencinta alam, diteruskan namun dengan beberapa penambahbaikan penting demi memastikan kelestarian geotapak berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Geopark Perlis, Abu Bakar Hamzah berkata, pembangunan tersebut akan dilaksanakan dengan garis panduan ketat dan memerlukan pandangan serta ulasan pihak berkuasa tempatan sebelum sebarang kelulusan diberikan.
“Pengusaha kafe terlibat boleh meneruskan pembinaan di sekitar kawasan gua itu dan cadangan pembangunan baharu hendaklah dikemukakan kepada Majlis Perbandaran Kangar (MPK) untuk ulasan serta pandangan sebelum kelulusan diberikan,” katanya.
Ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis, sebarang cadangan pembangunan harus menitikberatkan aspek keselamatan dan penjagaan geotapak berkenaan.

“Selain itu, tiada struktur kekal dibenarkan di dalam kawasan atau cerun Gua Cenderawasih,” katanya pada sidang akhbar di Kompleks Seri Putra, semalam.
Sebelum ini, beberapa pihak menyuarakan kebimbangan terhadap pembinaan kafe tersebut yang dikatakan boleh menjejaskan biodiversiti serta nilai geologi gua berkenaan.
Mengulas lanjut, Abu Bakar berkata, kerja-kerja pembersihan gua akan turut dilaksanakan dengan berhati-hati, khususnya melibatkan struktur yang telah dicat tanpa kebenaran sebelum ini.
“Pembersihan gua itu juga akan dilaksanakan dengan menanggalkan cat di dinding dan struktur tanpa merosakkan fosil sedia ada dengan kerjasama MPK, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM),” jelasnya.
Menurut beliau lagi, pendekatan yang digunakan akan dinilai secara teliti melalui kerja berperingkat dan berkemungkinan melibatkan penggunaan air dan berus.
Dalam perkembangan berkaitan umum beliau, struktur binaan sedia ada juga akan dialihkan demi keselamatan para pelawat.
“Kawasan fosil terlibat juga akan ditanda bagi membolehkan kerja pembersihan dilaksanakan dengan teliti tanpa merosakkan struktur bernilai tinggi yang ada,” ujarnya.
Abu Bakar turut menekankan keperluan pemetaan terperinci di kawasan geotapak itu serta peningkatan usaha promosi kesedaran awam oleh pihak kerajaan negeri.
“Promosi kesedaran awam juga perlu ditingkatkan oleh kerajaan negeri bagi memastikan semua pihak cakna akan kepentingan penjagaan di geotapak,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 17/6/2025











