
KUALA TERENGGANU: Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) menyalurkan hampir RM50,000 bagi membantu mangsa tragedi yang melibatkan pelajar-pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur-Barat, Gerik, Perak, baru-baru ini.
Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, Prof Madya Dr Ahmad Azrin Adnan berkata, bantuan itu disalurkan menerusi lawatan ziarah ke 14 rumah mangsa yang terlibat, bersama Yayasan Pendidikan MAIDAM dan Pejabat MAIDAM Daerah Besut.
“Alhamdulillah, hari ini kita selesai menziarahi 14 daripada 15 keluarga mangsa yang terkorban dalam tragedi berkenaan. Kami berpeluang menyantuni waris serta menyampaikan sumbangan secara terus,” katanya.
Menurut beliau, MAIDAM menyalurkan bantuan sebanyak RM1,500 kepada setiap 15 keluarga mangsa yang terkorban, melibatkan jumlah keseluruhan RM22,500.
“Selain itu, seramai 27 mangsa yang cedera turut menerima bantuan RM1,000 seorang, menjadikan jumlah keseluruhan RM27,000,” katanya.
Secara keseluruhan, katanya, jumlah bantuan yang disalurkan kepada semua mangsa tragedi itu adalah sebanyak RM49,500.
“Di samping menyampaikan sumbangan, kita turut berpeluang mendapatkan maklumat serta perkembangan terkini berkaitan keadaan mangsa melalui pertemuan dengan ahli keluarga mereka,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/6/2025











