
TRAGEDI menyayat hati yang berlaku di Bukit Rambai baru-baru ini membuka mata banyak pihak betapa seriusnya tekanan akademik yang dialami oleh remaja masa kini.
Dalam kejadian yang mengejutkan negara itu, seorang pelajar tingkatan lima bertindak di luar jangkaan apabila menikam ibu dan abangnya hingga maut, dipercayai akibat tekanan melampau kerana kerap dipaksa belajar demi keputusan cemerlang dalam peperiksaan.
Remaja itu, menurut laporan, adalah seorang yang pendiam dan tidak menunjukkan sebarang kelakuan agresif sebelum ini.
Namun, tekanan terpendam lama akhirnya meledak dengan cara paling tragis dengan mengorbankan insan yang paling dekat dengannya.
Bila ‘semua A’ jadi beban
Dalam keghairahan mengejar keputusan penuh A, ramai terlupa bahawa anak-anak bukan robot. Mereka manusia biasa yang punya perasaan, keletihan dan tekanan.
Mereka sedang belajar bukan sahaja subjek Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), tetapi juga sedang belajar menjadi insan dewasa dalam dunia yang serba mencabar dan berubah-ubah.
Kejayaan bukan pada banyaknya A, tetapi pada sejauh mana kita ikut apa yang Allah suruh dan tinggal apa yang Allah larang. Biarpun cuba berlakon kuat, akhirnya keresahan tetap tumpah di bahu ibunya.
SPM 2024/2025: Batch Paling terkesan
Cohort pelajar SPM tahun ini digelar ‘Batch 08’, dan mereka melalui fasa pendidikan yang luar biasa sukar.
Dari darjah enam yang terganggu akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PDPR) hingga ke tingkatan tiga yang sibuk dengan ujian Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) dan Ujian Kemasukan Kecenderungan MRSM (UKKM), segala-galanya terasa seperti dikejar masa.
Tahun ini pula, peperiksaan SPM diawalkan. Silibus masih belum habis, tetapi ujian percubaan sudah menghampiri. Kelas siang malam, guru dan murid sama-sama tertekan.
Bukan anak sahaja yang terbeban. Para guru juga hampir hilang keseimbangan mengejar silibus, memikul harapan pelajar dan ibu bapa, hingga rumah tangga sendiri terpaksa diletak nombor dua.
Justeru apa pun keputusan nanti, tak mengapa. Yang penting kita usaha, doa, kemudian serah pada Allah.
Namun, dalam masyarakat yang menjadikan keputusan peperiksaan sebagai ukuran maruah dan kejayaan, suara seperti ini masih kurang kedengaran.
Kita terlalu terbiasa melihat kejayaan pada angka dan gred, lalu terlupa bahawa nilai diri dan akhlak anak jauh lebih utama.
Berhati-hati dalam meletakkan harapan
Kes di Melaka seharusnya menjadi titik sedar bersama bahawa harapan yang terlalu tinggi dan tekanan berlebihan boleh menjadi racun yang diam-diam membunuh jiwa.
Bukan semua anak mampu menanggung impian yang kita bina. Kadangkala, impian itu tidak berdiri di atas tapak yang kukuh, tetapi di atas dahan yang rapuh.
Anak-anak kita bukan projek prestasi, mereka amanah Allah. Mereka bukan kilang A, tetapi insan yang sedang belajar erti hidup, erti sabar, dan erti berserah.
Berjaya itu bukan semata-mata tentang cemerlang di atas kertas tetapi ia tentang anak yang masih boleh senyum meskipun berdepan tekanan. Anak yang masih tahu memeluk ibunya dan berkata, “Saya dah cuba yang terbaik.”
Anak yang baik, walau apapun keputusan nanti, masih kenal Tuhannya dan tahu kembali kepada-Nya dalam susah dan senang. – HARAKAHDAILY 16/6/2025











