
MARANG: Naib Presiden PAS, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (foto atas) menolak dakwaan kononnya berlaku desakan untuk menukar Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, sambil menyifatkan perkara itu sebagai mainan musuh politik yang cuba meretakkan kesatuan parti.
Menurut beliau, isu berkenaan tidak pernah dibangkitkan dalam kalangan pimpinan PAS, malah kepimpinan Tuan Guru Abdul Hadi terbukti berjaya membawa kejayaan besar kepada parti dalam beberapa siri pilihan raya sebelum ini.
“Tidak timbul langsung soal nak tukar Presiden. Presiden inilah yang telah mengatur strategi kemenangan besar PAS. Isu ini sengaja dimainkan musuh untuk mencetuskan kekeliruan dan melemahkan kesatuan dalam parti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Marang ke-41 yang diadakan di Rusila, semalam.
Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu berkata, PAS kekal utuh dengan struktur kepimpinan berteraskan prinsip wala’ dan syura, serta terus komited memperkukuh perjuangan Islam dalam kerangka demokrasi berperlembagaan.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru ahli dan penyokong parti supaya tidak mudah terpengaruh dengan naratif luar yang disebarkan untuk memecah-belahkan jemaah.
“Kita kena fokus pada agenda dakwah dan pentadbiran yang beramanah. Jangan terperangkap dengan permainan musuh yang hanya mahu melihat kita berpecah,” katanya lagi.
Sebelum ini, wujud laporan daripada segelintir pihak dan media yang mendakwa Abdul Hadi bakal berundur daripada jawatan Presiden PAS, namun tiada pengesahan rasmi dibuat berhubung perkara itu.
PAS sebelum ini mencipta sejarah apabila memenangi semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu dalam Pilihan Raya Umum (PRN) lalu, selain menjadi komponen penting dalam blok pembangkang di Parlimen menerusi Perikatan Nasional. – HARAKAHDAILY 15/6/2025











