Takwa asas kepimpinan, ikhlas paling payah

Ustaz Yussaine Yahya
- Advertisement -

KANGAR: “Ikhlas paling payah. Sebut senang, tapi untuk mewarnai erti keikhlasan dalam setiap tindak-tanduk, itulah paling sukar,” kata Yang Dipertua PAS Kawasan Kangar, Ustaz Yussaine Yahya.

- Advertisement -

Menurut beliau, setiap orang memiliki cita-cita dalam aspek pekerjaan dan kehidupan, namun demi perjuangan Islam, semua itu sanggup dikorbankan.

“Ini bukan kerja senang kerana kita terpaksa habiskan wang ringgit dan tenaga. Contohnya seperti hari ini, kita datang dari awal pagi hingga ke petang, sedangkan ini adalah hari cuti yang sepatutnya kita bersama keluarga,” katanya ketika menyampaikan amanat sempena Majlis Penutup Retreat Dewan Muslimat PAS Kawasan Kangar di sini, hari ini.

Mengulas tentang nilai pengorbanan, beliau mengingatkan bahawa segala yang dilakukan kerana Allah SWT tidak akan sia-sia, bahkan akan digantikan dengan sesuatu yang lebih baik.

“Dan tidaklah ada sesuatu yang engkau infakkan kepada Allah kecuali Allah akan gantikan. Sesuatu yang diganti mungkin tidak sama, tetapi yakinlah, gantian Allah itu adalah yang terbaik,” ujarnya.

Beliau turut menekankan tanggungjawab pimpinan Dewan Muslimat PAS dari ketua hingga ke peringkat naib dan bendahari, yang telah ditakdirkan untuk memimpin, namun tetap perlu memimpin diri sendiri.

“Kita adalah pemimpin, maka sifat luaran dan sikap dalaman kita juga mesti mencerminkan kepimpinan.

“Hakikatnya kita semua tidak layak kerana kita umat Nabi yang penuh kelemahan dan kekurangan, namun cara untuk sempurna ialah dengan menyertai jemaah,” tambah beliau.

Ustaz Yussaine turut menegaskan bahawa PAS bukan sekadar parti politik, sebaliknya jemaah Islam yang membina manusia dan menegakkan agama.

“Kalau asas tak kuat, bangunan yang dibina akan runtuh. Tambahan pula, apa yang kita nak bina ialah manusia. Jemaah ini tak akan runtuh jika kita semua saling menguatkan,” katanya lagi.

Beliau menekankan bahawa kekuatan PAS sejak dahulu terletak pada asas perjuangannya kerana Allah, bukan semata-mata mengejar kemenangan politik.

“PAS bukan parti peribadi. Konsepnya berdasarkan syura. Dalam kita memimpin PAS di peringkat mana pun, kena ingat tentang takwa sebagai asas kepimpinan,” tegasnya.

Beliau menjelaskan bahawa takwa membawa makna takut dan berserah kepada Allah, dua elemen penting yang menjadi sayap untuk mukmin ‘terbang’ dalam kehidupan iaitu khauf dan raja’.

“Kalau kita menang, tapi sama seperti parti lain tiada bezanya maka kemenangan itu tidak ada erti. Kemenangan itu ujian daripada Allah.

“Persoalannya, apa yang kita buat dengan kemenangan itu? Islam semakin menyerlah atau semakin malap?” soalnya.

Ustaz Yussaine turut menasihatkan agar semua ahli jemaah menjaga adab, fokus pada tugas masing-masing dan tidak mendahului pimpinan dalam membuat keputusan.

“Apa-apa yang kita nak buat mesti diputuskan melalui mesyuarat. Jangan rasa hebat. Tak boleh rasa kebaikan yang ada dalam jemaah ini datang daripada kita seorang. Bila kita rasa semua benda terjadi sebab kita, itu datang dengan riyak dan ujub,” tegas beliau.

Beliau turut mengingatkan pesanan Saidina Umar al-Khattab agar mempelajari agama sebelum memimpin, di samping menjaga ukhuwah dan bertolak ansur dalam gerak kerja.

“Sentiasalah rasa diri kita lemah dan kurang. Saling bantu-membantu sahabat yang ditimpa musibah,” ujarnya lagi.

Mengakhiri ucapan, beliau mengangkat peranan besar Dewan Muslimat dalam gerak kerja jemaah.

“Kalau sebut bab kebajikan, hero dia adalah muslimat. Nak rayu undi, kita guna muslimat. Nak ziarah orang sakit, kita hantar muslimat. Ini menunjukkan kita saling memerlukan antara satu sama lain,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/6/2025

- Advertisement -