Korupsi kini: Kata periuk belanga hitam

- Advertisement -

DIYAKINI tidak ramai yang mengikuti kes mahkamah berkaitan tuduhan rasuah Lim Guan Eng. Demikian juga, kes mahkamah Guan Eng ini seperti kurang disensasikan oleh media massa. Situasi ini berbeza berbanding dengan kes-kes mahkamah yang melibatkan bekas Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohammad Najib Tun Abdul Razak. Ketika Dato’ Sri Najib dibicarakan dahulu, karakter beliau telah dibunuh meskipun perbicaraan di mahkamah belum bermula. Beliau telah dibicara dan dijatuhkan hukuman terlebih dahulu oleh perbicaraan netizen di ruang maya. Tidak dapat dinafikan pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan (PH) antara yang mempelopori pembunuhan karakter tersebut.

Di dalam rencana saya pada minggu lalu, saya telah mengungkit siasatan rasuah berkaitan seorang bekas Menteri daripada DAP, yang sehingga hari ini masih tidak diketahui kesudahannya. Pada masa yang sama, rakyat juga masih menunggu apakah hasil siasatan SPRM terhadap dua bekas pembantu Ahli Parlimen DAP Seputeh, Teresa Kok. Adakah siasatan terhadap dua bekas pembantu Teresa ini juga akan berakhir dengan tidak diketahui kesudahannya? Hakikatnya, DAP tidaklah sebersih mana. Bila mereka mendapat kuasa, mereka juga terdedah kepada golongan taikun pemberi rasuah yang akhirnya menyebabkan mereka pun terjebak dengan korupsi.

Kes mahkamah berkaitan tuduhan rasuah Guan Eng ini telah masuk ke peringkat yang menarik. Semasa perbicaraan di mahkamah baru-baru ini, salah seorang saksi utama pihak pendakwaan, Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli, mengaku beliau terpaksa merubah pendirian. Ketika disoal oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, Datuk Zarul berkata; “Saya memang terhutang budi dengan beliau (Guan Eng) dan saya akan ikut arahan (untuk bercakap tidak benar) beliau kerana ketika itu beliau memegang jawatan Menteri Kewangan.” Datuk Wan Shaharuddin mempersoalkan Datuk Zarul mengenai kenyataannya sebelum ini yang disifatkan menipu.

- Advertisement -

Datuk Zarul adalah saksi ke-23 pihak pendakwaan, yang dilihat antara saksi terpenting untuk mensabitkan Guan Eng dengan tuduhan rasuah. Guan Eng telah dituduh di mahkamah meminta dan menerima suapan berkaitan projek pembinaan jalan-jalan utama dan terowong dasar laut di Pulau Pinang yang bernilai RM6.3 bilion. Sebelum ini, bekas Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Nasruddin Hassan, mendakwa projek terowong tersebut telah diberikan secara runding terus oleh Guan Eng. Guan Eng telah menyaman Ustaz Nasruddin berkaitan tuduhan ini, yang kemudiannya atas persetujuan kedua-dua pihak telah diselesaikan di luar mahkamah.

Meskipun tiada pihak yang menang dan tiada pihak yang kalah, para tentera siber PH ketika itu telah menguar-uarkan Ustaz Nasruddin telah kalah saman. Mereka telah mengangkat Guan Eng sebagai pemenang dan bersih daripada amalan yang tidak berintegriti. Bagaimanapun kali ini, semua mereka yang memutar belitkan penyelesaian kes saman terhadap Ustaz Nasruddin ini terdiam seribu bahasa, bila mana Guan Eng dituduh meminta dan menerima suapan berkaitan pembinaan terowong dasar laut tersebut. Setelah kes mahkamah Guan Eng ini berjalan di mahkamah, tiada pula liputan dan ulasan besar-besaran dibuat terhadap kes ini.

Ketika Guan Eng menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang, beliau telah diangkat sebagai tokoh yang dilihat bersih. Beliau telah mempelopori pentadbiran CAT, iaitu ‘Competency, Accountability and Transparency’. Dahulu pemimpin-pemimpin DAP termasuklah Guan Eng yang banyak menuduh pemimpin-pemimpin parti lain khususnya Umno dan Barisan Nasional (BN) terpalit dengan korupsi. Kali ini satu demi satu pemimpin mereka disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Bekas pemimpin nombor satu mereka pula, Guan Eng, sedang dibicarakan dengan kes rasuah. Jelas sekali DAP malah PH pun tidaklah sebersih mana, seperti kata pepatah ‘kata periuk, belanga hitam’.

DR MOHD ZUHDI MARSUKI
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat – HARAKAHDAILY 15/6/2025

- Advertisement -