Presiden PAS puji penulisan Tun Mahathir

Mengenai konsep ad-Deen dalam Islam

- Advertisement -

PUTRAJAYA: Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyatakan penghargaan terhadap penulisan buku oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bertajuk ‘Al-Quranul Karim Ad-Deen’.

Ia menurutnya menjelaskan bahawa Islam tidak boleh disamakan dengan takrif agama dalam bahasa lain ataupun dengan ideologi teori ciptaan manusia.

“Saya ada kesempatan membaca buku yang ditulis oleh Tun Mahathir Mohamad, negarawan kita.

“Al-Quran menamakan Islam adalah ad-Deen, merangkumi peranan manusia yang ditetapkan oleh Allah Taala, makhluk yang ada di atas muka bumi.

“Di mana Allah Rabbil alamin, Tuhan yang mencipta dan mentadbir urusan alam, menetapkan kepada tiap-tiap makhluk-Nya peranan masing-masing,” ujarnya.

Tuan Guru berkata demikian dalam video rakaman pada Majlis Pelancaran Buku terbaru bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir, Ad-Deen di Yayasan Kepimpinan Perdana, di sini hari ini.

Turut serta bekas Menteri Agama dan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri dan Setiausaha Agung PAS Pusat, Datuk Seri Takiyuddin Hassan serta Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Juga, Ahli Dewan Negara, Senator Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dan Ahli Parlimen Kuala Krai, Abdul Latiff Abdul Rahman serta Ahli Parlimen Tangga Batu, Bakri Jamaluddin dan Ahli Parlimen Arau, Dato’ Seri Dr Shahidan Kassim.

Turut sama Ahli Parlimen Kuala Langat, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi dan Pengerusi BERSATU Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu serta Ahli Dewan Negeri (ADN) Semenyih, Ustaz Nushi Mahfodz dan bekas pemimpin Umno, Tan Sri Noh Omar.

Hadir sama, Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Nuridah Mohd Salleh dan Ahli Parlimen Kuala Krau, Ustaz Kamal Ashaari serta Ahli Parlimen Jerantut, Ir Ts Khairil Nizam Khirudin dan Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid.

Menurut Ahli Parlimen Marang itu, Allah menetapkan peranan manusia dengan sifat semula jadi fitrah yang ada padanya, ada jasad, ada nyawa, ada akal, ada nafsu, hidup secara peribadi, keluarga dan bermasyarakat.

“Apa yang menarik, Tun memilih yang pertama dalam tulisannya ayat ‘Ihdinassiratal Mustaqim’, Wahai Tuhan kami, tunjukkan kepada kami jalan yang lurus.

“Doa yang diajar oleh Tuhan supaya dibaca pada tiap-tiap rakaat sembahyang, sama ada sembahyang yang wajib atau sembahyang yang sunat. Tunjuklah pada kami jalan yang lurus.

“Allah Taala huraikan dalam ayat yang lain, Surah al-A’raf, Sesungguhnya inilah jalanku, jalan yang lurus. Jangan kamu pilih jalan-jalan yang lain, nanti kamu akan berporak-peranda, berselerak, sesat, tak betul dalam kehidupan.

“Ayat minta Tuhan tunjuk jalan lurus ini sangat penting. Dia mula dengan ayat ini,” terangnya.

Tambah Tuan Guru, ayat itu seterusnya diikuti dengan ayat-ayat lain bukan sahaja berkait dengan ibadat, termasuk berkait dengan cara hidup, berkeluarga dan bermasyarakat.

“Nabi Adam AS, manusia pertama, diajar oleh Allah Taala perkara urusan dunia, bukan sahaja urusan agama, yang difahami ‘dan Allah mengajar Adam nama-nama perkara dalam kehidupan dunia, kerana Adam ditugaskan untuk mengurus hal dunia dengan betul mengikut hukum Allah Taala, petunjuk Allah Taala.

“Menunjukkan bahawa Islam menganjurkan urusan ibadat menyembah Allah dan urusan mentadbir dunia dengan petunjuk Allah Taala,” terang Tuan Guru.

Tuan Guru menjelaskan, oleh kerana dunia ini mengalami perubahan dalam kehidupan bermasyarakat, maka ayat-ayat al-Quran dibahagikan kepada dua bahagian.

“Yang pertama disebut ‘tsawabit’, perkara yang tetap, tak berubah, ini tak berubah. Tiang agama tak berubah. Yang kedua perkara ‘mutaghayyirat’, perkara yang mengalami perubahan dalam kehidupan manusia.

“Maka Quran menyatakan dasar umum dilaksanakan dalam kawasan sempadan Allah, meraikan perubahan yang berlaku, tidak melampau.

“Islam melarang melampau, sama ada dalam ibadat, cara hidup, makan minum, termasuk menghadapi cabaran menentang manusia yang zalim, yang melampaui batas.

“Islam menyuruh kita jangan melampau, termasuk berperang menentang mereka yang melampaui batas. Ada dalam Quran. Kerana tujuannya membetulkan kehidupan manusia mengikut jalan yang lurus,” jelas Tuan Guru.

Beliau berkata, walaupun buku itu tidak memuatkan semua ayat Quran, tetapi memilih perkara-perkara yang penting dalam aspek peranan manusia di atas muka bumi dalam urusan agama dan urusan dunia.

Ia menurutnya termasuk urusan cara hidup manusia, yang dipenuhi oleh perkataan ‘ad-Deen’, Islam adalah ‘ad-Deen’ yang tak boleh disamakan dengan agama-agama yang lain.

“Dan saya tertarik dengan buku ini, walaupun ringkas tetapi menyempurnakan tuntutan-tuntutan ‘ad-Deen’ yang jadi takrif kepada Islam. Mudah-mudahan Allah Taala jadikan tulisan Tun ni ilmu yang memberi manfaat.

“Nabi sebut dalam sabdanya, ‘Bila manusia meninggal dunia, putus amalannya melainkan tiga perkara. Yang pertama, ilmu yang memberi manfaat walaupun sedikit.

‘Yang kedua, amalan jariah kebajikan yang berpanjangan. Yang ketiga, anak-anak yang soleh yang mendoakan pada ibu bapanya’. Mudah-mudahan Tun dapat kelebihan ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/6/2025

- Advertisement -
- Advertisement -