
REJIM Zionis telah melancarkan serangan besar-besaran ke atas Iran.
Sasaran mereka bukan sahaja markas tentera dan pusat nuklear, tetapi juga tokoh-tokoh penting dalam keselamatan dan ketenteraan Iran.
Serangan ini bukan sekadar tindakan unilateral, ia sebenarnya telah dirancang rapi dengan sokongan dan ‘lampu hijau’ daripada kuasa besar seperti Amerika Syarikat.
Namun malangnya, dalam keadaan umat Islam sepatutnya bersatu mengecam kezaliman Zionis, masih ramai yang terperangkap dalam sentimen mazhab dan kebencian sektarian yang melampau.
Sedangkan Allah SWT telah mengingatkan kita dalam al-Quran:
إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ
“Sesungguhnya orang-orang beriman itu bersaudara.” (Surah al-Hujurat ayat 10)
Adakah kita lupa bahawa persaudaraan ini melangkaui sempadan bangsa, geografi, dan mazhab?
Musuh sebenar kita bukanlah sesama umat Islam, tetapi adalah rejim Zionis dan sekutunya.
Syiah bukan alasan membisu terhadap kezaliman
Ya, kita tetap akui terdapat perbezaan akidah dan pandangan antara mazhab Ahli Sunnah dan Syiah.
Kita tidak menafikan hak untuk menolak penyebaran ajaran Syiah di negara-negara Sunni.
Tetapi menanggapi setiap tindakan Iran terhadap Zionis sebagai ‘sandiwara’, ‘gimik’, atau ‘rancangan sulit’ hanyalah cerminan pemikiran yang sempit dan penuh prejudis.
Ketika tokoh seperti Qasem Soleimani, Reza Zahidi, atau tokoh Hizbullah gugur akibat serangan Zionis, kita tidak patut memperlekeh pengorbanan mereka hanya kerana perbezaan mazhab.
Jika benar Iran hanya berlakon, mengapa Zionis dan Amerika begitu bersungguh-sungguh mahu melemahkan mereka?
Mengapa setiap tokoh muqawamah menjadi buruan peluru dan sasaran drone mereka?
Tanyalah hati dengan jujur, siapakah sebenarnya yang paling digeruni oleh musuh?
Mengenang darah suci yang tertumpah di bumi Iran dan Palestin, iaitu darah insan tidak berdosa, marilah kita hayati sabda Rasulullah SAW:
لَزَوَالُ الدُّنْيَا أَهْوَنُ عَلَى اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ مِنْ سَفْكِ دَمِ مُسْلِمٍ بِغَيْرِ حَقٍّ
“Runtuhnya dunia ini lebih ringan di sisi Allah Azza wa Jalla berbanding tumpahnya darah seorang Muslim tanpa hak.” (Hadis Riwayat Imam Ibn Majah 2619)
Israel takut kekuatan baharu di Asia Barat
Serangan Zionis ke atas Iran sebenarnya berkait rapat dengan isu dominasi nuklear di Asia Barat.
Israel yang merupakan satu-satunya kuasa nuklear di rantau itu, merasa terancam dengan keupayaan Iran untuk memiliki senjata nuklear yang boleh menyamakan kedudukan mereka.
Sejak awal, usaha Iran membina keupayaan nuklear sering diganggu dengan sekatan ekonomi, sabotaj dan serangan bersenjata.
Setiap kali ada rundingan damai antara Iran dan kuasa besar, rejim Zionis muncul sebagai penentang utama.
Situasi ini semakin tegang kerana mereka tahu, jika Iran memiliki senjata nuklear, mereka tidak lagi dapat mempermainkan dunia Islam sesuka hati.
Ketika rundingan Joint Comprehensive Plan of Action (JCPOA) sedang berlangsung, serangan ini dilihat sebagai cara untuk menggagalkan dialog dan memaksa konfrontasi.
Realiti dunia Arab: Antara pengkhianatan dan penjajahan pemikiran
Apa yang lebih menyedihkan, beberapa negara Arab seperti UAE, Mesir, Arab Saudi dan Jordan seakan lebih selesa menjadi rakan dagang dan sekutu strategik Zionis, berbanding menyokong perjuangan Palestin:
Di Gaza, UAE menghantar ‘penyelamat’ yang rupa-rupanya perisik kepada rejim. ‘Paramedik’ UAE ini berperanan untuk menjejaki lokasi-lokasi strategik Mujahidin.
Di sempadan Rafah, Mesir menghalang kemasukan bantuan kemanusiaan. Malah dihalau keluar dari negara.
Di Syria, selepas kerajaan bertukar, peranan Zionis semakin terserlah. Ruang udara Syria kini digunakan oleh rejim Zionis untuk melancarkan serangan ke atas Iran. Wallahu a‘lam, situasi ini semakin nyata.
Ini menunjukkan adanya tangan ghaib sedang cuba memadam kebangkitan blok Islam sejagat.
Bersatulah atas nama Islam, bukan mazhab
Ketika musuh kita sedang menunggang segala perbezaan antara kita untuk memecah-belahkan kekuatan umat Islam, kita pula sibuk bertelagah tentang siapa lebih sesat, siapa lebih sunnah.
Adakah kita ingin mengulangi kesilapan sejarah ketika empayar Islam lemah kerana perpecahan dalaman, sehingga tanah suci Baitul Maqdis dijajah dan dinodai?
Nabi Muhammad SAW pernah bersabda:
المسلمُ أخو المسلمِ لا يظلِمُه ولا يُسلِمُه
“Seorang Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Ia tidak menzaliminya dan tidak menyerahkannya (kepada musuh).” (Hadis Riwayar Imam al-Bukhari 2442 dan Imam Muslim 2580)
Maka, marilah kita berdiri bersama mereka yang menentang Zionis walaupun berbeza mazhab, kerana mereka juga berjasa untuk berada di barisan hadapan mempertahankan maruah umat.
Sheikh Dr Sameh al-Jabbah (سامح الجبه), anggota KUIS dan Ittihad Ulama al-Azhar telah menulis:
الوقوف مع إيران ودعمها في مواجهة المشروع الصه ي وني هو في الحقيقة دفاع عن أهل السُّنة ، فالشيعة وأهل السٌُنة مستهدفون
“Bersama Iran dan menyokongnya dalam menghadapi Zionis sebenarnya adalah satu bentuk pembelaan terhadap Ahli Sunnah, kerana Syiah dan Ahli Sunnah kedua-duanya menjadi sasaran (musuh Islam).”
Sikap adil dan tegas: Kunci kemenangan ummah
Kritik Iran itu ada kewajarannya.
Tetapi mencela perjuangan mereka melawan Zionis hanya kerana mazhab, itu suatu kezaliman.
Kita boleh mengakui kekurangan Iran dari segi keupayaan ketenteraan berbanding Zionis, namun kita juga perlu mengiktiraf bahawa mereka adalah antara negara yang masih berani membalas serangan Zionis secara terbuka, sesuatu yang tidak mampu dilakukan oleh ramai negara Islam lain.
Jika benar kita mahu membebaskan Palestin, maka janganlah kita menjadi batu penghalang hanya kerana perbezaan fikah dan pemikiran.
Musuh utama umat Islam hari ini ialah Zionis Israel dan sekutunya, bukan Iran, bukan HAMAS, bukan Hizbullah.
Perbezaan mazhab tidak sepatutnya menjadi lesen untuk membiarkan umat Islam dibunuh dan dihina tanpa pembelaan.
Akhirnya kita akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah SWT
Hari ini kita berdiri di persimpangan sejarah.
Sama ada kita bersama barisan muqawamah yang bersungguh melawan Zionis, atau kita bersama negara-negara pengecut yang sanggup menyerah dan bersekongkol demi kekayaan dan kuasa. Pilihan ini bukan kecil – ia akan ditanya di akhirat nanti:
وَلَا تَرْكَنُوا إِلَى الَّذِينَ ظَلَمُوا فَتَمَسَّكُمُ النَّارُ
“Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim, kelak (neraka) akan menyambar kamu.” (Surah Hud ayat 113)
Jangan kita keliru. Serangan ke atas Iran hari ini bukan soal mazhab, tapi soal penjajahan dan pembunuhan terhadap sesiapa sahaja yang berani mencabar kekuasaan Zionis.
Jangan ulangi kesilapan yang sama, bersatulah demi Palestin dan demi ummah.
ZULHILMI AZIZ ABDUL HANNAN
13 Jun 2025 | 16 Zulhijjah 1446H – HARAKAHDAILY 13/6/2025











