
GOMBAK: Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Syed Hasan Syed Ali menyifatkan Muhammed Yusoff Rawther sebagai satu-satunya mangsa yang berani tampil menegakkan keadilan selepas berjaya menyelamatkan diri daripada cubaan menimpanya.
Beliau berkata, berbeza dengan kes lain yang hanya dilaporkan selepas kejadian berlaku, keberanian Yusoff perlu dipuji kerana beliau terus berjuang menuntut keadilan.
“Malangnya, kita sekarang ini berada di bawah sebuah kerajaan yang zalim. Dahulu mereka kutuk Tun Mahathir Mohamad sebagai maha zalim, dan Anwar Ibrahim juga pernah menuduh Tun Mahathir selepas dipecat,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam ceramah mega isu semasa, Yusoff Rawther, di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM), Taman Melewar, di sini malam tadi.
Menurutnya, walaupun Tun Dr Mahathir digelar maha zalim, dalam tempoh tiga tahun pertama sebagai Perdana Menteri, Proton Saga telah diumumkan pada 1981 dan berada di atas jalan raya menjelang 1985.
Katanya, lebih 5,000 anak bangsa mendapat pekerjaan di kilang Proton ketika itu, manakala selepas tiga tahun Anwar menjadi Perdana Menteri, 5,000 anak bangsa pula diberhentikan kerja di PETRONAS.
“Siapa yang maha zalim?” soal beliau turut membangkitkan isu penswastaan Menara Kuala Lumpur yang menurutnya diberikan kepada TM Berhad dan diurus lebih 20 tahun, sebelum diserah kepada syarikat Bumiputera 100 peratus.
Namun katanya, selepas baharu dua tahun diberikan kontrak, ia kemudian ditamatkan dan diberi kepada kaum lain dengan 70 peratus kepentingan, sedangkan bahagian Melayu tinggal 30 peratus sahaja di zaman Anwar.
Syed Hasan juga membangkitkan isu pelantikan pegawai sumber manusia dari luar negara di CIMB, sebuah bank yang dikenali sebagai institusi Melayu, sedangkan anak tempatan layak untuk jawatan itu.
Beliau turut menyentuh cadangan penggabungan tiga bank iaitu Bank Pembangunan, Exim Bank, Bank Muamalat dan SME Bank yang dikatakan akan mengecilkan ruang kepentingan Melayu termasuk jawatan ketua pegawai eksekutif dan pengerusi yang sebelum ini dipegang orang Melayu.
“Ini kena mengena dengan kepentingan Melayu untuk, modal biayai projek-projek dipunyai oleh kontraktor Melayu, nak digabungkan. Elok-elok ada tiga CEO (ketua pegawai eksekutif), tinggal satu CEO.
“Elok-elok ada tiga ‘chairman’ (pengerusi) tinggal satu ‘chairman’, elok elok ada ketua HR (sumber manusia) Melayu tinggal satu Melayu. Dia kecilkan kepentingan Melayu,” kupasnya.
Menurutnya, Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) tidak pernah terlibat dalam aktiviti haram seperti rumah urut, pelacuran atau penyeludupan dadah, namun tetap dikenakan tindakan tegas berbanding penceroboh tanah di Pahang yang dikatakan hanya dipanggil untuk berunding.
“Ustaz-ustaz GISB digari, kaki dirantai, diturunkan daripada trak polis dan diheret ke mahkamah dengan kawalan keselamatan seolah-olah umat Islam ini pengganas.
“Kita lihat muslimah GISB turun dari trak bergari, kaki bergari, jalan seiringan, berpuluh hari berpisah dengan anak dan keluarga, tetapi penceroboh tanah di Pahang tidak dipenjara pun,” persoalnya.
Syed Hasan juga menyuarakan kebimbangan bahawa apa yang berlaku ke atas Yusoff Rawther boleh menimpa mana-mana pihak termasuk dirinya, dan mana-mana musuh politik kerajaan.
“Apa yang menyedihkan ialah yang menurut perintah dan menzalimi orang sendiri adalah orang Melayu dan Islam juga, baik pegawai tinggi, menteri atau orang politik,” jelasnya.
Beliau berkata semua itu berlaku kerana terdapat tauke dan kartel besar di belakang mereka yang didominasi oleh DAP.
“Saya mengisytiharkan DAP adalah bahaya kepada kita orang Melayu dan Islam. Tangkaplah saya kalau ada polis, kamera, tangkap.
“Saya tak cakap Cina, saya cakap parti DAP adalah bahaya kerana perjuangannya untuk menghilangkan kepentingan kita orang Melayu,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/6/2025











