‘Yusoff Rawther, bukan manusia biasa’ – Rafique

Simbol rakyat biasa berani berdepan sistem yang takut kepada orang berkuasa

- Advertisement -

GOMBAK: “Perkara pertama yang dilakukan Yusoff Rawther sebaik sahaja dibuka gari adalah sujud syukur,” kata peguamnya, Muhammad Rafique Rashid Ali.

Menurut beliau, tindakan spontan anak guamnya itu jelas mencerminkan rasa syukur terhadap kemenangan yang disifatkan sebagai ketentuan Allah, bukan manusia.

“Kemenangan kerana Allah, bukan manusia. Ini Yusoff Rawther, bukan manusia biasa. Beliau luar biasa kerana tahu sejak ditahan bahawa beliau telah diperangkap.

“Ia memerlukan keberanian luar biasa untuk tidak mengaku kepada pihak polis, enggan tandatangan dokumen siasatan dan dengan jelas menyatakan, ‘saya mangsa perangkap’,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam ceramah mega isu semasa, Yusoff Rawther, di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM), Taman Melewar, di sini malam tadi.

Rafique mencabar Jabatan Peguam Negara untuk menyatakan bahawa kenyataannya itu sebagai spekulasi.

Sendirian di blok banduan akhir

Peguam itu turut mendedahkan bahawa Yusoff, 32, telah menjalani 9 bulan 10 hari dalam tahanan sejak pertuduhan pada 12 September lalu, dan ditempatkan secara bersendirian di blok banduan akhir di Penjara Sungai Buloh.

“Kami pulang ke pejabat. Surat pertama kami utus kepada Pengarah Penjara Sungai Buloh (bahawa) nama beliau Yusoff Rawther, beliau ada kes dengan personaliti-personaliti tinggi dalam negara. Keselamatan beliau perlu diuruskan.

“Beliau ada masalah pemakanan. Jangan biarkan beliau bergaul dengan ramai orang. Beliau dalam bahaya. Di manakah beliau diletakkan? Di blok banduan akhir 9 bulan 10 hari beliau duduk di blok banduan akhir seorang.

“Dia tidak berani bergaul dengan sesiapa. Beliau akan menelefon saya seminggu sekali Kita akan pergi jumpa dia tiga empat kali dalam sebulan bincang pasal kes dia. Beliau membaca lebih kurang 25 buku di dalam penjara,” dedahnya.

Sistem ditekan, rakyat kerdil bangkit

Rafique berkata, Yusoff menjadi simbol kepada rakyat biasa yang berani berdepan sistem yang menurutnya hanya takut kepada orang berkuasa.

“Ini bukan isu politik Ini isu orang yang kerdil berani melawan kepada yang besar. Ini isu tentang seorang anak muda yang sedang mengajar kita semua bagaimana menjadi rakyat Malaysia yang berani.

“Tapi kita masih lagi takut. Boleh ke kita tulis? Boleh ke kita bercakap? Kerana apa? Kerana ada pihak dan jabatan sebegini yang kata jangan spekulasi,” ulasnya.

Beliau turut berkata wujud alat seperti ‘frequency jammer’ yang boleh dibeli di platform e-dagang seperti TikTok dan Shopee yang boleh digunakan untuk membuka kenderaan tanpa kunci yang sebenar.

“Maka apa yang berlaku dalam kes Yusoff Rawther ini sebenarnya boleh kena kepada sesiapa sahaja,” ceritanya.

Rafique turut menceritakan kisah seorang banduan warga Singapura yang memeluk Islam, Iskandar dan sanggup mencuba makanan terlebih dahulu untuk memastikan keselamatan Yusoff.

“Iskandar keluar tampil di hadapan Yusoff Rawther, ‘tak apa aku makan dulu, aku makan dulu. Kalau aku hidup engkau makan. Aku makan dulu Kalau aku hidup engkau continue makan’. Itu perjuangan yang dilalui oleh Yusoff Rawther,” ceritanya.

Undang-undang milik semua

Menurut Rafique, keberanian Yusoff perlu menjadi iktibar buat rakyat untuk percaya bahawa dalam sistem demokrasi dan undang-undang, semua rakyat adalah setara.

“Yusoff Rawther dibawakan ke hadapan kita sebagai satu contoh untuk menunjukkan kalau kita percaya dengan kebenaran lawanlah sampai habis kerana akhirnya kebenaran akan nampak juga.

“Yusoff Rawther dibawa kepada kita untuk mengajar kita bagaimana nak berhadapan dengan orang yang jauh lebih berkuasa Kerana akhirnya dalam sebuah negara demokrasi tu kita semua sama.

“Sama ada you peguam, you pemandu Grab, you Perdana Menteri atau you Yusoff Rawther semua sama dari segi undang-undang,” tegasnya.

Sedia teruskan saman

Beliau turut memaklumkan bahawa keputusan Mahkamah Sesyen membebaskan Yusoff daripada tuduhan tidak bermakna kes sudah tamat kerana pihak pendakwa raya masih mempunyai tempoh 14 hari untuk memfailkan rayuan.

“Jika rayuan itu dimasukkan, kita terpaksa hadapi Mahkamah Rayuan dengan tiga hakim,” terangnya.

Menurut Rafique, ketika ditanya oleh wartawan mengenai saman sivil sejurus dibebaskan, Yusoff terus menyatakan kes itu akan diteruskan.

“Sebaik sahaja Yusoff Rawther keluar semalam, ada wartawan tanya bagaimana dengan kes saman Yusoff Rawther? Tanpa melepaskan satu saat pun menyatakan, teruskan kes.

“(Selama) 9 bulan 10 hari berhadapan dengan antara lainnya pertuduhan yang kalau didapati bersalah boleh dikenakan hukuman gantung di leher sehingga mati atau penjara 30 tahun seumur hidup, beliau masih lagi boleh keluar dan dengan jelas menyatakan teruskan saman.

“Dan berkenaan dengan saman tersebut ianya masih di mahkamah. Kita tengah tunggu tarikh untuk rayuan yang dibawa kepada lapan soalan tersebut,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/6/2025

- Advertisement -
- Advertisement -