Jangan diamkan isu pedofilia, ia jenayah dan songsang

- Advertisement -

PADANG BESAR: Pedofilia bukan sekadar jenayah, tetapi satu bentuk kelainan seksual yang menjijikkan apabila seseorang mempunyai kecenderungan seksual terhadap kanak-kanak.

- Advertisement -

Ia bukan sahaja meragut maruah, malah menghancurkan masa depan mangsa yang tidak berdosa, jelas Wan Badariah Wan Saad.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri itu menegaskan, bahawa isu ini tidak boleh lagi dipandang remeh atau disenyapkan atas alasan menjaga aib atau nama baik.

“Zaman kanak-kanak bagi kebanyakan kita adalah satu fasa yang menggembirakan dan penuh nostalgia indah. Tetapi, bagi mangsa pedofilia, ia adalah luka yang tidak sembuh.

“Mereka hidup dalam ketakutan, dihantui trauma yang membawa kepada kemurungan sehingga dewasa,” ujarnya Harakahdaily di sini, semalam.

Menurutnya, adalah menjadi tanggungjawab semua pihak termasuk ibu bapa, pendidik dan masyarakat untuk memastikan kanak-kanak diberi pendedahan serta pengetahuan tentang bahaya pedofilia agar mereka tahu bagaimana melindungi diri daripada menjadi mangsa.

“Jangan diamkan isu pedofilia. Pendedahan awal kepada kanak-kanak penting agar mereka tahu apa yang salah dan kepada siapa mereka boleh mengadu. Jangan takut untuk bersuara,” katanya.

Tambah beliau, banyak kes yang tidak dilaporkan kerana ketakutan, rasa malu, atau kerana tidak tahu bagaimana untuk mendapatkan bantuan.

Justeru, Wan Badariah menggesa agar satu sistem sokongan komuniti yang kukuh diwujudkan, khususnya bagi memperkasa perkhidmatan perlindungan kanak-kanak di setiap daerah.

“Kita perlukan sistem sokongan yang kukuh termasuk kaunseling, tempat perlindungan, dan khidmat sokongan undang-undang untuk mangsa. Ini bukan isu terpencil. Ia adalah soal keselamatan anak-anak kita,” tegasnya.

Beliau turut menyeru agar sekolah dan institusi pendidikan memainkan peranan aktif dalam melaksanakan modul pendidikan seksual yang sesuai mengikut umur, selain mengadakan latihan kesedaran kepada guru, pelajar dan ibu bapa.

Dalam masa sama ujarnya, pihak berkuasa juga disaran untuk lebih tegas dalam menangani jenayah pedofilia, termasuk meneliti keperluan memperketat hukuman terhadap pesalah yang sabit kesalahan agar menjadi pengajaran kepada masyarakat.

“Anak-anak adalah amanah. Lindungi mereka dari menjadi mangsa kerakusan manusia yang hilang kewarasan,” tambah Wan Badariah. – HARAKAHDAILY 14/6/2025

- Advertisement -