
KUALA LUMPUR: Keputusan PETRONAS untuk menamatkan perkhidmatan 5,000 kakitangan terus mengundang reaksi pelbagai pihak, termasuk tokoh korporat berpengalaman.
Tindakan itu disifatkan sebagai tidak berperikemanusiaan dan mencerminkan kegagalan sistemik dalam pengurusan sumber manusia negara.
Dato’ Ridza Abduh Salleh berkata, langkah tersebut akan memberi kesan berganda kepada masyarakat kerana melibatkan bukan sahaja individu diberhentikan, malah seluruh isi rumah mereka.
“Kalau kita ambil kira isi rumah ada lima, maka 5,000 yang diberhentikan ini sebenarnya menjejaskan kira-kira 25,000 jiwa. Itu bukan angka kecil. Persoalannya sekarang, adakah tiada langsung jalan lain?
“Tiada idea? Tiada pelan mitigasi?” soal bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Prasarana itu yang menyuarakan rasa teramat kecewanya kepada kerajaan dan pihak berkepentingan.
Kerana katanya, tidak menunjukkan kesungguhan untuk mempertahankan nasib 5,000 rakyat Malaysia dalam keadaan negara masih menampung hampir 2 juta pekerja asing.
“Ini bukan isu tidak cukup kerja. Kita ada ruang, kita ada tenaga. Tapi apa yang kita tak ada adalah keazaman politik dan kreativiti dalam membuat keputusan.
“Bila susah, yang kena buang ialah pemandu, tukang bancuh teh, kerani. Tapi yang menyebabkan syarikat rugi, yang duduk atas, tetap selamat dan bergaji besar,” ujarnya lagi.
Ridza turut mencadangkan agar PETRONAS dan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti CIMB dan Axiata meneroka mekanisme pertukaran pekerja atau pelan penyerapan kakitangan antara sektor.
“Kalau kita boleh ambil ekspatriat dari India jadi Ketua Sumber Manusia (HR) di CIMB, kenapa tidak fikir untuk beri peluang kepada rakyat kita yang dibuang kerja ini?
“Bukan saya anti-asing, tetapi tanggungjawab kepada rakyat sendiri mesti menjadi keutamaan,” jelas beliau.
Tambahnya, budaya korporat dengan menjadikan pemberhentian pekerja sebagai jalan mudah untuk menjaga prestasi kewangan adalah ‘pemikiran malas’ yang tidak menyelesaikan masalah sebenar.
“Sesiapa yang pandu di Lebuhraya Persekutuan pun boleh kata ‘buang orang untuk jimat kos’. Tapi pengurusan bukan tentang jalan pintas. Ia tentang tanggungjawab dan keadilan.
“Kalau perlu, kita nilai semula peranan Lembaga Pengarah dan CEO Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) ini. Lulusan SPM pun boleh bantu PETRONAS kalau sekadar nak singkir 10,000 pekerja.
“Apa guna gaji ratus ribu sebulan kalau idea untuk selamatkan pekerja pun tak ada?” bidasnya turut menzahirkan kebimbangan terhadap kesan sosial jangka panjang akibat tindakan tersebut.
Ia menurutnya, termasuk peningkatan kadar pengangguran, tekanan isi rumah dan kemungkinan tercetusnya gejala sosial akibat ketidaktentuan ekonomi keluarga.
“Jangan anggap ini hal dalaman syarikat. Ini hal rakyat. Ini hal negara. Kalau sebuah syarikat terbesar negara tidak mampu pelihara 5,000 pekerjanya, maka ada yang sangat tidak kena dengan dasar ekonomi kita,” tegasnya.
Ridza menyeru kerajaan untuk segera campur tangan dan memperkenalkan pelan pemulihan pekerjaan khusus untuk kakitangan GLC yang terkesan.
Termasuk katanya, skim latihan semula, pemadanan kerja strategik serta sekatan sementara terhadap pengambilan tenaga kerja asing dalam sektor yang boleh diisi oleh rakyat tempatan.
“Jangan tunggu rakyat marah baru nak bertindak. Jangan jadikan dewan mesyuarat seperti kafe yang hanya penuh sembang kosong. Gaji besar datang dengan tanggungjawab besar.
“Tunjukkan integriti, bukan hanya Petunjuk Prestasi Utama (KPI) atas kertas,” gesanya memperingatkan. – HARAKAHDAILY 13/6/2025











