
KUALA LUMPUR: PAS mengecam sekerasnya serangan regim Israel terhadap Republik Islam Iran, yang jelas melanggar undang-undang dan norma antarabangsa serta menggugat kedaulatan dan keselamatan negara.
Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan demikian susulan serangan terbaharu Israel ke atas Iran yang menurut media antarabangsa dilakukan atas dakwaan memusnahkan kuasa nuklear Republik itu.
“Seluruh masyarakat antarabangsa hendaklah mengutuk serangan ini dan Majlis Keselamatan PBB memikul tanggungjawab besar untuk segera menghentikan tindakan tidak bertamadun oleh regim haram Israel.
“Kepada seluruh negara Islam, saya mengulangi seruan untuk bersatu dalam menghadapi musuh yang hendak memecah belahkan perpaduan sesama kita,” peringat beliau.
Setakat ini media antarabangsa turut melaporkan beberapa pegawai tertinggi tentera Iran dan individu berkepakaran penting terbunuh dalam serangan yang dikatakan menyasarkan beberapa lokasi strategik nuklear Iran.
Juga dilaporkan bahawa Iran bersiap sedia melaksanakan serangan dengan beberapa negara Barat segera memunculkan diri menyatakan berpihak kepada Israel dan akan membantu menangani serangan Iran. – HARAKAHDAILY 13/6/2025











