SST Julai ini: Dasar ekonomi Madani lintang pukang

- Advertisement -

SHAH ALAM: Mustahil bagi peluasan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang akan berkuat kuasa mulai 1 Julai ini tidak menyebabkan kenaikan kos sara hidup rakyat, kata Ketua Penerangan PAS Selangor, Zurk Ahmad.

- Advertisement -

Beliau berkata, walaupun cukai itu tidak dikenakan secara langsung terhadap sesetengah barangan asas, namun hakikatnya semua produk yang sampai ke tangan pengguna melibatkan rantaian proses pengeluaran serta perkhidmatan turut dikenakan SST.

“SST mungkin tidak tertulis pada sesetengah barangan asas, tetapi setiap barang dan produk yang sampai kepada pengguna akhir tidak datang bergolek begitu sahaja.

“Ada kos penghasilan daripada awal yang melibatkan pelbagai peringkat proses dan perkhidmatan yang dikenakan cukai SST. Peluasan skop kali ini juga bakal melibatkan lebih banyak lagi sektor perkhidmatan yang dekat dengan rakyat.

“Walaupun SST dikenakan kepada barangan tertentu, tidak mustahil peniaga contohnya pengusaha makanan dan restoran akan menyelitkan kenaikan harga kepada semua produk  dijual untuk menampung keseluruhan kos operasi yang meningkat,” katanya.

Beliau berkata, peluasan SST pada 2025 ini juga menunjukkan senarai barangan yang dikenakan cukai meningkat kepada 222 muka surat berbanding 62 pada 2022, malah senarai barangan yang dikecualikan pula menurun daripada 282 kepada 103 muka surat.

“Tujuan kerajaan meningkatkan hasil negara ini bukan menjadi mimpi ngeri lagi buat rakyat. Rakyat sudah hidup dalam realiti kesusahan ekonomi yang bertimpa-timpa akibat dasar ekonomi lintang pukang Kerajaan Madani.

“Hari ini bukan golongan B40 sahaja yang merungut dengan tekanan kewangan dan kos sara hidup, malah golongan M40 dan T20 yang bekerja keras dan menyumbang banyak kepada ekonomi negara juga terus terbeban tanpa pembelaan,” katanya.

Beliau berkata, terdapat wujud percanggahan antara kenyataan kerajaan dan dokumen rasmi berhubung peluasan cukai SST yang menimbulkan kekeliruan dalam pelaksanaan industri.

“Akibatnya, rakyat yang akan menanggung kesan akibat pelaksanaan gelojoh dan tidak matang ini,” katanya.

Beliau berkata, peluasan skop SST yang bakal berkuat kuasa 1 Julai ini tetap akan memberi kesan yang lebih besar terhadap harga barang dan kos sara hidup rakyat secara keseluruhan.

“Kesan ini akan lebih terasa bersama kenaikan tarif elektrik, kenaikan RON95 dan cukai-cukai baharu yang telah dikuatkuasa oleh kerajaan. Kerajaan Madani sepatutnya berfikir untuk menjana pertumbuhan ekonomi negara, bukan menjana kesengsaraan rakyat,” katanya.

Terdahulu, Penolong Setiausaha Agung PAS, Khairul Faizi Ahmad Kamil, berkata hasrat Kerajaan Madani melaksanakan SST disifatkan sebagai langkah yang akan membebankan rakyat, khususnya golongan B40 dan M40.

Beliau berkata, kerajaan mendakwa peluasan SST bersifat progresif dan bersasar, namun realiti di lapangan menunjukkan sebaliknya apabila rakyat mula merasai kesan kenaikan harga barang dan perkhidmatan.

“Antaranya melibatkan kenaikan kos sara hidup yang sememangnya membebankan rakyat. Walaupun barangan asas seperti ayam, beras dan minyak masak dikecualikan daripada SST, banyak perkhidmatan lain tetap dikenakan cukai.

“Seperti rawatan kesihatan swasta, pendidikan swasta atau tuisyen, perkhidmatan pajakan dan pembinaan,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/6/2025

- Advertisement -