Slogan ‘Rahmah’ dan ‘Madani’, tapi rakyat kena SST

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia menyatakan bantahan tegas terhadap keputusan Kerajaan Madani untuk melaksanakan peluasan dan menaikkan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bermula 1 Julai ini.

- Advertisement -

Timbalannya, Mohd Hafez Sabri berkata, langkah itu jelas menunjukkan kerajaan semakin terputus daripada realiti kehidupan rakyat marhaen yang kini bergelut dengan tekanan kos sara hidup, ketidakstabilan ekonomi global dan kelembapan pemulihan pasca pandemik.

“Meskipun kerajaan mengulangi retorik lama bahawa peluasan SST ini hanya melibatkan sektor tertentu dan tidak memberi kesan langsung kepada pengguna, realitinya kesan rantaian ekonomi tidak boleh dinafikan.

“Peningkatan cukai jualan lima peratus ke atas barangan seperti mentega, serta cukai lima peratus ke atas mesin pemprosesan dan pembungkusan makanan, akan memberi impak domino kepada harga roti, kek, makanan proses dan keperluan harian lain.

“Ini bukan sekadar teori, ini ialah beban sebenar yang akan ditanggung oleh pengguna biasa termasuk golongan B40 dan M40,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Manjoi berkata, lebih membimbangkan, peluasan SST ini dijangka menyumbang sehingga RM5 bilion pendapatan tambahan kepada kerajaan.

“Namun perbelanjaan pengguna dijangka merosot akibat kos perkhidmatan yang meningkat, khususnya dalam sektor gaya hidup, hartanah, pendidikan swasta (untuk bukan warganegara) dan penyewaan komersial.

“Penganalisis seperti dari CIMB Securities dan bank pelaburan luar meramalkan bahawa inflasi akan meningkat dalam lingkungan dua peratus hingga 3.5 peratus selepas SST baharu ini dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga gagal memberi jaminan bahawa pengenaan cukai ke atas jentera industri tidak akan menaikkan kos pengeluaran, sedangkan sistem SST ini tidak membenarkan pemotongan cukai input seperti cukai barang dan perkhidmatan (GST) dahulu.

“Ini memberi kesan langsung kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang kini sudah pun berada dalam kedudukan yang rapuh.

“Malah, dewan perniagaan seperti Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM), dan MCA sendiri menggesa penangguhan SST kerana kebanyakan PKS tidak mampu menyerap kos tambahan ini tanpa memindahkannya kepada pengguna,” katanya.

Dewan Pemuda PAS melihat langkah tergesa-gesa ini sebagai tidak berempati dan tidak strategik.

“Apakah tujuan slogan ‘Rahmah’ dan ‘Madani’ jika dasar cukai yang dilaksanakan tidak memperlihatkan sebarang keprihatinan terhadap rakyat terbanyak?” katanya.

Oleh demikian, beliau mendesak kerajaan agar menangguhkan pelaksanaan peluasan SST sekurang-kurangnya sehingga April 2026 bagi memberi ruang kajian menyeluruh dan konsultasi awam.

“Selain itu, menaikkan ambang kelayakan pengecualian SST untuk perniagaan kecil, terutama bagi PKS dengan perolehan bawah RM500,000; serta memperkenalkan pengecualian atau rebat cukai ke atas mesin dan peralatan PKS dalam sektor makanan dan keperluan asas.

“Menyalurkan hasil tambahan daripada SST kepada subsidi bersasar untuk golongan B40 dan M40 supaya beban cukai tidak ditanggung sepenuhnya oleh pengguna akhir,” katanya.

Justeru, Dewan Pemuda PAS Malaysia berpendirian bahawa kerajaan seharusnya memberi fokus kepada reformasi fiskal yang sebenar, termasuk memperbaiki ketirisan hasil, mengoptimumkan perbelanjaan kerajaan dan memulihkan keyakinan pelabur.

“Bukan terus membebankan rakyat atas nama penstrukturan cukai,” katanya sebagai reaksi kepada Kementerian Kewangan yang mengumumkan bahawa beberapa barangan pilihan tertentu akan dikenakan cukai jualan berkuat kuasa 1 Julai depan.

Ia susulan pelaksanaan semakan dan peluasan skop SST diumumkan dalam Belanjawan 2025 yang bertujuan mengukuhkan kedudukan fiskal negara dengan meningkatkan hasil dan meluaskan asas percukaian.

Namun, Timbalan Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Konsumer dan Kepenggunaan PAS Pusat, Shahir Adnan berkata, pelaksanaan SST 2025 memberi kesan langsung kepada semua lapisan rakyat, terutamanya mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana.

“Ini bermakna hampir semua barang dicukai sekarang, tanpa mengira golongan berpendapatan rendah atau sederhana. Ini adalah malapetaka yang memudaratkan.

“Apa yang dahulunya tidak dikenakan cukai kerana dianggap perkhidmatan asas untuk rakyat, kini dilanyak sehabis-habisnya. Dari bayi hingga warga emas, semuanya dikenakan cukai perkhidmatan,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/6/2025

- Advertisement -