
SHAH ALAM: PAS Selangor mengutuk sekeras-kerasnya pengkhianatan kepada perjuangan reformasi yang pernah dijanjikan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim (PMX) sebelum berkuasa.
Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor, Ustaz Mohd Shafie Ngah berkata, PMX kali ini masih memberi alasan reformasi perlukan masa dan sokongan parti politik lain.
“Kerajaan Madani sudah berkuasa lebih dua tahun dan tempoh itu sepatutnya sudah cukup untuk rakyat melihat dan merasai perkembangan pelaksanaan reformasi yang dijanjikan.
“Sebaliknya, lebih banyak kezaliman yang ingin dihapuskan dahulu sedang diulang dalam watak yang berbeza. PMX tidak hirau dikritik hebat kerana melantik dirinya sendiri sebagai Menteri Kewangan dan melantik pula anaknya sebagai penasihat.
“PMX gagal menghapuskan amalan nepotisme dan kronisme yang dikutuk suatu masa dahulu,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.
Beliau yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Ramal berkata, PMX telah menunggang institusi kerajaan untuk menyekat kebebasan bersuara, membisukan rakyat dan media serta melakukan pendakwaan terpilih terhadap lawan politik.
“Akta Hasutan yang dibenci PMX dahulu kini dikitar semula untuk menekan dan menzalimi rakyat. Pemimpin kerajaan kebal dan kalis kritikan dengan kuasa yang ada.
“Reformasi rasuah hanyalah wayang politik dan lagu pilihan raya untuk menjatuhkan kerajaan dahulu. PMX sendiri melantik individu yang didakwa dengan 47 kesalahan rasuah sebagai Timbalan Perdana Menteri.
“Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, bahkan diberikan dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) bagi semua kesalahan yang telah didakwa,” bidasnya yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Bangi.
Beliau berkata, reformasi ekonomi Madani hari ini bukan menyenangkan rakyat, tetapi menyiksa rakyat untuk menyenangkan kerajaan.
“Rakyat terus tertekan dengan polisi dan dasar caca merba. Janji untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat kini sepi, malah pelbagai cukai baharu pula diperkenalkan. Golongan kaya ditekan dan golongan miskin terbeban.
“Alasan demi alasan yang sering berulang ini menunjukkan Kerajaan Madani langsung tidak serius melaksanakan janji-janji reformasi.
“Alasan ini hanyalah helah PMX untuk menutup kelemahan pentadbiran Kerajaan Madani yang hanya ingin berkuasa tanpa melakukan perubahan,” katanya.
Justeru, PAS Selangor mendesak Kerajaan Madani untuk membuktikan kewibawaan mereka mentadbir kerajaan hari ini.
“Hentikan semua hipokrit politik dan selesaikan segala masalah yang menimpa negara hari ini tanpa alasan berterusan,” gesanya yang juga pengamal undang-undang.
Terdahulu, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, agenda reformasi perlu mengambil masa dan sokongan daripada gabungan PH, di mana menurutnya tidak mempunyai majoriti mudah di Parlimen.
Tambah beliau, PH hanya mempunyai 81 daripada 222 kerusi di Parlimen, ia perlu bekerjasama dengan rakan kongsi seperti Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk membina konsensus mengenai agenda reformasi.
Sebelum itu, Ahli Parlimen Subang, Wong Chen yang baru-baru ini mengumumkan percutian dua minggu di Perancis telah menyatakan pendiriannya untuk merenung masa depan politik bersama PKR.
“Begitu banyak masa (15 tahun) dan usaha telah dicurahkan untuk sampai ke tampuk kuasa, namun saya tidak dapat menafikan rasa bimbang yang mendalam kerana pencapaian reformasi masih begitu sedikit.
“Saya percaya kita mampu mencapai lebih banyak reformasi, dan satu-satunya cara untuk mencapainya adalah kita, para Ahli Parlimen, mesti lebih berani mendesak kerajaan dari barisan belakang,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/6/2025











