Usah risau mengenai parti PAS

Sebaliknya berikan tumpuan kepada parti sendiri

- Advertisement -

DATO Seri Muhammad Sanusi ketika ditanya berkaitan desas-desus Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang akan berundur daripada jawatan Presiden PAS menafikan laporan itu. Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man turut menafikan dakwaan tersebut dan menyifatkan laporan itu sebagai ‘tidak berasas dan bersifat spekulatif’.

Tiada angin, tiada ribut tiba-tiba cerita mengenai pimpinan PAS pula dibangkitkan oleh pihak tertentu. Hanya kerana keributan semasa pemilihan pimpinan parti PKR baru-baru ini menghangatkan berita-berita politik tidak semestinya ia akan berulang dengan skrip yang sama pada parti PAS.

PAS kekal tenang meskipun parti itu akan mengadakan pemilihan kepimpinan dalam muktamar yang dijadual berlangsung pada 15 hingga 16 September ini. Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad berkata, “Memang senyap pemilihan PAS. Ya memang tradisi dalam PAS macam itulah. Kami tak adalah program gege ka, riuh ka, hingaq ka sebab kami ditarbiyah oleh PAS, menjadi pemimpin ini amanah”.

Sangat berbeza jika dibandingkan dengan pemilihan pimpinan PKR yang didakwa sehingga melibatkan permainan wang, manipulasi undian, adu domba, senarai cai dan cah keting serta kumpulan mengikut kem. Kemuncak kepada pemilihan pimpinan tertinggi ialah dengan kejayaan Nurul Izzah mengetepikan saingan sengit penyandang jawatan Timbalan Presiden PKR iaitu Rafizi Ramli.

- Advertisement -

Berlainan pula dengan Umno yang akan menghadapi Perhimpunan Agung Umno pada 20 Ogos hingga 23 Ogos 2025 nanti. Rata-rata dalam kalangan ahli-ahli akar umbi dikatakan akan mengambil peluang untuk mengusulkan Umno untuk keluar dari gabungan Kerajaan Campuran dengan alasan matlamat perjuangan Umno adalah tidak selari dengan matlamat perjuangan DAP yang memperjuangkan keadilan hak sama rata antara pelbagai kaum dan juga jawatan Perdana Menteri untuk disandang oleh DAP.

Ramai ahli-ahli Umno juga menyarankan agar Umno kembali bertanding pilihan raya secara solo dalam Barisan Nasional dan bukan secara kerjasama atau gabungan dengan Pakatan Harapan yang mengandungi parti DAP.

Eloklah Umno yang bodoh sombongnya bernafsu tinggi untuk merebut kerusi, hakikatnya mereka bakal bertambah hilang kerusi dalam PRU16 kelak. Hendak bergabung dengan PN, mustahil kerana Umno parti kuat ego dek kunun parti keramat parti lama. Hendak bergabung dengan PH dah tentu dikecam ahli-ahli kerana bersekongkol dengan DAP. Begitulah Umno bak seperti Pak Pandir, mundar mandir bingung akhirnya semua terlepas dan rugi.

Maka usahlah menyibuk dengan parti PAS atau berasa cemburu kerana ketenangan dan sistem tarbiyah yang mantap membentuk jati diri ahli dan pemimpin PAS hinggakan tiada hiruk tetapi damai yang sebenar.

Jagalah dalam kain sendiri dan bukan jaga tepi kain orang lain. Sedangkan PKR masih bergolak dengan kredibiliti Presiden PKR yang mula mengundang keraguan dan krisis keyakinan dalam kalangan ahli berikutan kes saman gangguan seksual oleh Yusoff Rawther. Begitu juga dengan Umno di mana sudah timbul keresahan ahli-ahli melihat gaya pimpinan Umno yang lebih suka cium mulut dengan DAP sehinggakan sanggup kehilangan ahli-ahli yang menjauhkan diri daripada Umno. Ahli-ahli masih sayangkan Umno tetapi pada masa yang sama malu dilabelkan sebagai UmDAP.

Cukuplah jaga parti sendiri yang berkecamuk daripada buat-buat sibuk dengan parti lain dengan tujuan untuk alih tumpuan atau bak seperti menutup bangkai gajah dengan nyiru.

KHALID HAMKA
Kuala Kedah – HARAKAHDAILY 13/6/2025

Sumber Asal: https://www.facebook.com/share/p/1BnzemZZ2L/

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -