
KOTA BHARU: Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dicadangkan meletakkan jawatan atau direhatkan sementara siasatan kes yang sedang dihadapinya berjalan, terutama berkaitan dakwaan bekas penyelidik beliau, Mohamed Yusoff Rawther.
Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man membuat gesaan itu ketika diminta mengulas isu dihadapi pemimpin tersebut, ketika ditemui media selepas Kuliah Jumaat Medan Ilmu, di sini hari ini.
“Kalau tengok dengan kes yang diambil oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim adalah saya cadangkan beliau letak jawatan ataupun direhatkan. Benarkan siasat sentiasa terbuka. Kita pegang jawatan, pegawai nak siasat kita.. mana boleh.
“Ini standard, bukan baru, bukan benda baru. Dulu pun begitulah desakan dia. Kepada mana-mana menteri yang sedang siasat, sepatutnya dia berehat dulu, supaya bila laluan siasatan sedia adil. Pegawai pun nak siasat pun tak bimbang, tak takut.
“Tapi kalau kita dengan jawatan nak siasat.. kita mana berani. Jadi kita minta persepsi itu bukan kita kata tidak adil, tapi keadilan itu mesti dilihat adil. Mesti bukan sahaja adil, dia dilihat adil,” katanya.
Beliau turut menyifatkan negara dan rakyat di bawah kerajaan kini sedang berdepan dengan isu yang besar antaranya melibatkan kekosongan dalam kabinet selepas peletakan jawatan beberapa menteri kanan meletakkan jawatan.
Iaitu Menteri Ekonomi, Dato’ Seri Mohd Rafizi Ramli dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi bin Nik Ahmad, selain berlaku spekulasi berhubung kedudukan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
“Kita tahu, contohnya peletakan jawatan Rafizi Ramli, Nik Nazmi.. dua kekosongan di antara depan. Tengku Zafrul pula terpaksa kosongkan kerusi (Umno), dan ini bukan benda kecil.. semua kanan-kanan belaka itu, di antara kementerian yang penting.
“Jadi polemik dalaman PKR sendiri, polemik dalaman kerajaan sendiri, dengan isu yang berlaku dengan tarif yang dikenakan oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.. negara berdepan dengan pelbagai cabaran.
“Sebab itu kita tengok tarif cukai kita makin naik dan macam-macam,” katanya memaklumkan PAS kini menumpukan perhatian terhadap tekanan ekonomi dihadapi rakyat susulan kenaikan cukai dan tarif yang tidak diumum secara menyeluruh dalam Bajet lalu.
Menurutnya, ketika Belanjawan 2025 dahulu, hanya diumumkan beberapa item saja, tetapi bila keluar senarai terkini hampir semua benda dikenakan kenaikan cukai lima peratus yang tentu akan memberi kesan secara terus kepada rakyat.
“Semua itu akan timbul tekanan ekonomi yang berangkai kepada rakyat dan ada situasi seperti itu,” katanya yang Ahli Parlimen Kubang Kerian dan Ketua Pembangkang Dewan Negeri Pahang.
Dato’ Sri Tuan Ibrahim turut mengulas mengenai kemungkinan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang menurutnya PAS kini dalam fasa persiapan menghadapi PRN itu di mana dijangka langsung sekitar September atau Oktober tahun ini.
“Kemungkinan tahun depan Melaka dan selepas itu, Johor. Jadi negara kita berdepan dengan situasi PRN dan Pilihan Raya Umum (PRU), namun situasi ekonomi yang tak menentu sebenarnya,” katanya.
PAS beritahunya, sudah mengadakan perbincangan awal bersama Perikatan Nasional (PN) peringkat negeri Sabah dan sudah bersetuju untuk perkukuhkan lagi organisasi PN di Sabah.
“PAS sebagai komponen dalam PN Sabah, kita masih lagi harapkan, Insya-Allah, kita perkembangkan jentera masing-masing bersama BERSATU, PAS dan sebagainya,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/6/2025











