Sekularisasi ilmu dan antivaksin

- Advertisement -

ILMU itu asalnya daripada wahyu yang diturunkan kepada para Rasul untuk disampaikan kepada manusia. Kemudian diproses oleh akal manusia untuk menghasilkan matlamat. Ilmu adalah rangkaian pengetahuan yang membolehkan seseorang membezakan dan memilih mana yang benar dan mana yang salah. Objektif ilmu pula adalah untuk menimbulkan rasa takut kepada Allah.

Al-Quran adalah kitab yang mengumpulkan semua ilmu-ilmu ini dan menjadi panduan umat manusia. Di dalam al-Quran terdapat pelbagai jenis ilmu termasuklah ilmu sains atau alam yang disebut ilmu ‘kauniyah’ (tanda-tanda kebesaran Allah).

Jika kita selusuri sejarah pada zaman kegelapan Eropah di mana mereka diperintah oleh gereja. Rakyat tidak dibenarkan mencari ilmu dan dipaksa hanya menerima apa yang gereja perintahkan tanpa soalan. Waktu ini rakyat mereka yang celik akan pergi menuntut ilmu dari negara Islam. Ada yang sebahagian kecil telah memeluk Islam  dan sebahagian besar kembali ke Eropah. Akhirnya zaman kebangkitan bermula bagi membentuk tamadun dengan menaikkan ilmu pengetahuan, seni dan budaya klasik (Renaissance).

- Advertisement -

Di negara Islam pula jika kita lihat zaman kegemilangan, ilmuan Islam tidak hanya menguasai satu bidang ilmu, malah selain memiliki ilmu agama yang tinggi mereka juga menguasai ilmu-ilmu lain seperti ilmu perubatan, astronomi, matematik dan lain-lain. Mereka dapat membina tamadun yang gemilang kerana mereka tidak memisahkan ilmu wahyu yang menjadi panduan hidup manusia. Namun masa yang berlalu menyebabkan sampai satu tahap di mana panduan agama dikesampingkan, bermulalah kehancuran dan kejatuhan empayar Islam yang gemilang. Pendekatan inilah yang digunakan oleh penjajah apabila mereka menjajah negara Islam- sekularisasi ilmu iaitu memisahkan ilmu agama dan ilmu-ilmu lain. Bangsa yang dijajah akan menjadi jumud dan malas bertanya.

Natijahnya adalah apabila tinggi ilmu agama seseorang itu tiada atau sangat sedikit pengetahuan sains dan begitu sebaliknya. Maka akan timbulah orang yang menolak sains walaupun telah dibentangkan dengan pelbagai fakta dan kajian. Begitu juga sebaliknya mereka yang ada ilmu sains tetapi tiada atau sedikit kefahaman agamanya, hidupnya hanya bergantung pada sains dan tidak mempercayai alam ghaib. Mereka menjadi sesat dalam kegelapan.
Firman Allah dalam surah Az-Zukhruf ayat 83 yang bermaksud, “Oleh itu biarkanlah mereka wahai Muhammad tenggelam dalam kesesatan mereka dan leka bermain-main dalam dunia mereka sehingga mereka menemui hari yang dijanjikan kepada mereka ( untuk menerima balasan ).”

Antivaksin adalah individu atau kelompok yang menolak pemberian vaksin kerana menganggap ianya merbahaya dan tidak efektif. Walaupun telah dibuktikan secara saintifik mengenai keberkesanan vaksin serta kejayaan program vaksinasi yang telah menghapuskan banyak penyakit merbahaya seperti difteria dan pertussis, masih tidak dapat mengubah pendirian golongan ini. Walaupun mereka tidak ramai hanya 5-7 peratus tetapi mereka sangat lantang di media sosial dan dapat mempengaruhi golongan atas pagar.

Tidak dinafikan vaksin ada kesan sampingan tetapi jika ditimbang melalui kaedah Maqasid Syariah, kemudaratan lebih besar jika vaksin tidak diberikan. Di Malaysia Fatwa daripada MKI telah mewajibkan vaksin COVID-19 diberikan kepada orang ramai semasa PKP. Sebelum sesuatu fatwa dikeluarkan beberapa persidangan akan diadakan dihadiri oleh ahli-ahli agama dan pakar bagi sesuatu bidang yang dibincangkan. Ini bersesuian dengan konsep yang diwahyukan dalam al Quran surah An-Nahlu ayat 43 yang bermaksud “Maka bertanyalah kepada kepada orang orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui”.

Penolakan vaksin oleh golongan ini walaupun telah dikeluarkan fatwa mewajibkannya menunjukkan betapa mereka tiada ilmu atau jahil. Mereka menolak sains secara tuntas dan lebih percaya kepada teori konspirasi yang tiada kesahihan dan menggunakan alasan agama. Sedangkan terlalu banyak ayat-ayat al-Quran yang berkaitan mengenai ilmu sains dan dapat membawa manusia kepada Allah.

Surah Al-Imran ayat 190 yang bermaksud, “Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang beraqal”.

Al-Kahfi ayat 37 yang bermaksud, “Patutkah engkau kufur ingkar kepada Allah yang menciptakan engkau daripada tanah dan kemudian daripada air benih kemudian ia membentukmu dengan sempurna sebagai seorang manusia”.

Ini adalah antara ayat-ayat yang Allah wahyukan kepada Nabi Muhamad beratus tahun dahulu dan telah dibuktikan kewujudannya secara saintifik. Tujuan sains jika dilihat daripada ayat-ayat ini adalah supaya manusia yang beraqal akan takut dan beriman kepada Allah. Maka tiada salahnya mempercayai sains seperti yang digemburkan oleh sesetengah orang.

Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 169 yang bermaksud “Allah menganugerahkan al hikmah (kefahaman yang dalam tentang al-quran dan sunnah )kepada sesiapa yang dikehendakinya. Dan barang siapa dianugerahi al hikmah itu, ia benar-benar telah dianugerahi kurnia yang banya. Dan hanya orang yang beraqal dapat mengambil pelajaran.”

Masanya untuk kita kembalikan zaman kegemilangan Islam. Sama-sama membentuk generasi yang benar-benar memahami ilmu al-Quran. Mencari semula ‘hikmah‘ yang telah lama hilang dari orang-orang yang beriman.

Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Hikmah itu adalah umpama barang yang hilang (kepunyaan) orang yang beriman. Jikalau dia menjumpai barang hilang itu,maka dia lebih berhak mengambil barang itu.”

DR AFIZAH SALLEH
Pakar Pembedahan Am
Timbalan Pengerusi Lajnah Kesihatan
Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) – HARAKAHDAILY 13/6/2025

- Advertisement -