Tak boleh selindung gejala dadah -Tuan Ibrahim

Dengan sindrom penafian

- Advertisement -

KUBANG KERIAN: Dalam kesungguhan kerajaan membina generasi berakhlak dan bertakwa, elemen yang merosakan generasi muda seperti jenayah akibat penyalahgunaan dadah perlu diberi perhatian.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Kubang Kerian, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man melalui Pusat Khidmat Parlimen sehubungan itu menganjurkan program Kesedaran Pencegahan Jenayah Parlimen Kubang Kerian 2025.

Menurut beliau, pihaknya memandang serius kejadian jenayah membabitkan dadah dengan statistik yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa Polis dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

“Jadi dalam proses kita membina generasi akan datang ini, kita kena perkukuhkan juga elemen termasuk pencegahan jenayah dan tidak boleh nak berselindung dalam ‘syndrom denial’ ini.

“Apa yang pihak berkuasa beritahu kita kena terima hakikat bahawa kita perlu bersama dan berusaha menangani jenayah berpunca dadah, isu dadah ini merupakan isu yang besar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas perasmian program Kesedaran Pencegahan Jenayah Parlimen Kubang Kerian 2025 diadakan di Ruang Legar Masjid at-Taqwa Pasir Tumboh hari ini.

Hadir sama pada majlis itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Tumboh, Dato’ Abdul Rahman Yunus dan ADUN Salor, Saizol Ismail dan Pengerusi Masjid at Taqwa, Ustaz Dr Mohd Alwee Yusoff.

Sebanyak 11 agensi Kerajaan Persekutuan dan negeri menyertai selain pembelian minyak masak terpakai Kelantan Utilities Mubaarakan (KUM) dan barangan elektronik terpakai Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Timbalan Presiden PAS itu juga dalam hasrat tersebut supaya semua pihak tidak boleh menuding jari atau menyalahkan kepada individu lain termasuk ibu bapa dan sekolah semata-mata.

Beliau berkata semua pihak tanpa mengira ideologi politik serta latar belakang agama dan kaum perlu berganding bahu untuk pastikan jenayah terbabit dapat ditangani dengan sebaik mungkin.

“Oleh itu bagi saya program seperti ini sepatutnya dianjurkan oleh sekolah, PIBG, JKKKP, termasuk penghulu dan pengawa, supaya kesedaran ini merata dan diterima oleh semua pihak.

“Sekarang ini yang mari ini kanak-kanak dan remaja yang tidak terlibat tetapi jenayah berkaitan dadah ini kita kena cegah sebelum berlaku kalau dan berlaku payah dah,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/6/2025

- Advertisement -