
KOTA BHARU: Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan seluruh ahli PAS bersetuju bahawa Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang perlu dikekalkan di jawatannya itu.
Menurut beliau, PAS mengharapkan Tuan Guru Abdul Hadi terus memberi sumbangan pandangan dan fikiran kepada penyatuan ummah dunia Islam dan menafikan khabar angin mengenai kononnya tokoh itu akan berundur.
“Tiada! Tidak saya katakan, kononnya Tuan Guru Presiden (akan berundur). Pada waktu ‘retreat’ (di Terengganu), saya hadir dan saya bersama (Tuan Guru). Sepatah pun Tuan Guru tak sebut. Spekulasi sahaja. Tok Guru tak ada sebut apa pun,” sangkarnya.
Tuan Ibrahim berkata, walaupun ada pihak mendakwa Presiden PAS uzur, beliau masih diperlukan dalam kepimpinan parti dan dunia Islam kerana pemikirannya yang luas dan tajam.
“Yang bagi kita, kita lihat keperluan Tuan Guru ini, masih diperlukan. Sebab, orang kata dia uzur. Yang pemimpin ini, akal dia.. pemikiran dia. Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, (umur) 100 tahun, akal pemikiran dia (masih kuat).
“Manakala Tuan Guru ini bukan sahaja kita (yang memerlukan), bahkan dunia Islam memerlukan dia. Saya rasa setakat ini, pemimpin negara Islam yang paling di tempat nombor satu dari segi konteks pandangan dwipolitik adalah Tuan Guru Presiden,” katanya.
Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian bagaimanapun menyatakan bahawa pemilihan untuk jawatan Timbalan Presiden PAS kali ini terbuka untuk sesiapa sahaja sekiranya dicalonkan.
“Tak tahu ada pertandingan ke tak, tengok dulu. Bagi saya terbuka, dan lepas ini tak ada sebarang jawatan yang kita tak terbuka, semua terbuka. Terbuka untuk pencalonan, terbuka untuk dipilih, tidak ada masalah,” ujarnya.
PAS kata beliau, tetap konsisten menolak budaya berebut jawatan dan kempen berlebihan dalam pemilihan parti, sebaliknya menyerahkan sepenuhnya kepada para perwakilan untuk menentukan kepimpinan.
Jelas beliau yang juga Ketua Pembangkang Dewan Negeri Pahang, tradisi dalam PAS sejak dahulu adalah jelas bahawa jawatan bukan sesuatu untuk direbut, malah calon yang berkempen keterlaluan lazimnya tidak mendapat tempat.
“Ini soal kepimpinan dan pemimpin tidak ada masalah sejak dulu lagi membuatkan tradisi dalam PAS ini jawatannya bukan benda yang nak direbut-rebutkan. Yang membuatkan benda yang pelik sikit dan lepas ini tak ada budaya kempen-kempen.
“Siapa kempen biasanya dia akan kalah. Jadi bagi kita, kita serah kepada ahli dan para perwakilan kerana mereka berhak menentukan calon, kemudian kita buka semua jawatan termasuk presiden, timbalan, naib.. terbuka, bergantung kepada pencalonan.
“Insya-Allah selepas ini kita sentiasa kekal tenang, kekal tenang dalam pemilihan, tiada masalah,” katanya dalam sidang media selepas Kuliah Jumaat Medan Ilmu, Kota Bharu, Kelantan, hari ini. – HARAKAHDAILY 13/6/2025











