
KUALA LUMPUR: “Syukur saya kepada Allah SWT kerana menjaga saya selama ini.. saya rasa kemenangan hari ini adalah untuk semua rakyat Malaysia,” luah Muhammed Yusoff Rawther.
Bekas penyelidik Dato’ Seri Anwar Ibrahim itu meluah demikian selepas sembilan bulan 10 hari ditahan berhubung kes dadah dan pistol tiruan yang akhirnya berakhir dengan pembebasan.
Yusoff Rawther, 32, menyatakan penghargaan kepada seluruh rakyat Malaysia yang mendoakan dan memberi sokongan moral sepanjang tempoh beliau berdepan ujian getir itu.
“Saya amat berterima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang mendoakan untuk saya, yang memberikan sokongan, yang hadir juga meluahkan sokongan kepada peguam dan keluarga saya,” katanya.
Penghargaan tersebut diucapkannya dalam sidang media selepas perbicaraan kes di lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Jalan Duta, di sini hari ini.
Kemunculan istimewa beliau dijangka menjadi tumpuan utama dalam Ceramah Mega bertajuk ‘Isu Semasa: Yusoff Rawther’, yang akan berlangsung pada Jumaat ini, jam 9 malam di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM), Taman Melewar, Gombak.
Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia, Khairul Nadzir Helmi Azhar, memaklumkan bahawa program itu akan menjadi platform penting untuk menghimpunkan rakyat Malaysia membincangkan isu semasa dan perkembangan terkini.
“Hari Jumaat malam kemungkinan besar kita akan bertemu seramai mungkin di Taman Melewar. Saya baru sahaja dapat pengumuman daripada Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari.
“Insya-Allah kita akan adakan satu ceramah mega perhimpunan, kita nak ambil peluang. Cuma kita akan spesifikkan tempat dalam masa terdekat ini. Kalau ada berita baik yang sangat besar pada hari ini Insya-Allah kita akan uruskan,” katanya.
Beliau turut menyeru semua pengamal media bersedia untuk mengikuti pengumuman penting yang mungkin dibuat sepanjang program tersebut.
Terdahulu, Yusoff dilepaskan dan dibebaskan (DNA) oleh Mahkamah Tinggi, di sini hari ini, daripada dua pertuduhan selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya.
Hakim, Dato’ Muhammad Jamil Husain membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap bekas pembantu penyelidik kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim itu.
Penghakiman menegaskan bahawa meskipun kewujudan dadah jenis ganja dan dua pucuk pistol tiruan tidak dipertikaikan, elemen penting berkait milikan, kawalan, jagaan dan pengetahuan tertuduh terhadap barang tersebut tidak berjaya dibuktikan.
Sebelum itu, pada 12 September 2024, Yusoff didakwa di Mahkamah Majistret, di sini atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 305 gram di dalam kenderaan dinaikinya, di hadapan surau Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, pada jam 10.15 pagi, 6 September 2024.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada 12 kali, jika sabit kesalahan.
Yusoff turut berdepan satu lagi pertuduhan berasingan kerana memiliki dua pistol tiruan di tepi jalan berhampiran sebuah kondominium di Jalan Bukit Kiara, pada jam 9.25 pagi, hari yang sama.
Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960, yang membawa hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda tidak melebihi RM5,000, atau kedua-duanya sekali.
Pada 12 November 2024, Mahkamah Majistret membenarkan permohonan untuk memindahkan kes pengedaran dadah ke Mahkamah Tinggi bagi perbicaraan.
Dalam kes ini, tertuduh diwakili oleh peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali, manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Sabri Othman.
Prosiding ditangguhkan sementara pihak pendakwaan dan pembelaan berbincang di dalam kamar bagi menetapkan tarikh perbicaraan selanjutnya. – HARAKAHDAILY 12/6/2025











