
KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Hamzah Zainudin menggesa agar dalang sebenar di sebalik pertuduhan terhadap Muhammed Yusoff Rawther disiasat dan didakwa segera.
Tegas Ahli Parlimen Larut yang juga Timbalan Presiden BERSATU itu, ia susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebaskan anak muda itu hari ini.
Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata, keputusan mahkamah tersebut membuktikan Yusoff menjadi mangsa kezaliman dan konspirasi amat dahsyat.
“Yusoff telah merengkok di penjara selama 9 bulan 10 hari tanpa dibenarkan ikat jamin, malah ditempatkan di blok banduan akhir walaupun beliau hanyalah seorang anak muda yang belum dibuktikan bersalah,” katanya dalam kenyataan media rasmi PN, hari ini.
Menurut Hamzah, Yusoff sebelum ini berdepan dua pertuduhan berat iaitu mengedar dadah mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan memiliki senjata api tiruan mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 – yang boleh membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup.
“Bayangkan jika keputusan tidak memihak kepada beliau. Seorang yang tidak bersalah mungkin akan dipenjara seumur hidup. Ini bukan sekadar tragedi peribadi, malah satu kegagalan besar sistem keadilan,” tegas beliau.
Hamzah turut merakamkan penghargaan kepada pasukan peguam bela diketuai Muhammad Rafique Rashid Ali, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Nurmustanir Md Nor atas usaha gigih menegakkan keadilan dalam kes berkenaan.
Jelas beliau, rakyat berhak mengetahui siapa yang memberi arahan sehingga membawa kepada pertuduhan palsu ke atas Yusoff dan bagaimana bahan bukti seperti ganja serta senjata boleh ‘ditemui’ dalam keadaan mencurigakan.
“Kita tidak boleh membiarkan sejarah penyalahgunaan kuasa berulang kembali. Dalang di sebalik konspirasi ini mesti dibawa ke muka pengadilan,” katanya lagi.
Hamzah turut memberi jaminan bahawa Perikatan Nasional akan terus komited mempertahankan prinsip keadilan dan melindungi rakyat daripada sebarang bentuk penindasan serta penyalahgunaan kuasa. – HARAKAHDAILY 12/6/2025











