
ALOR SETAR: Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi dinasihatkan agar lebih memikir hal berkaitan Umno daripada mengambil berat urusan PAS, demikian bidas Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Katanya, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno itu, disarankan agar lebih memberi fokus kepada partinya sendiri yang semakin merudum dan semakin hilang kepercayaan rakyat.
“Saya nampak Umno yang sedang merosot. Dulu Umno ada 90 kerusi, sekarang 26 kerusi sahaja. Jadi saya nasihatkan tak perlulah cakap pasal PAS, tengok parti sendiri sedang merudum.
“Lebih baik beri perhatian kepada perkara itu,” tegas beliau yang merupakan Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS pada sidang media di Hotel Raia, di sini semalam.
Sanusi berkata demikian bagi membidas dakwaan Mohd Puad, kononnya PAS hanya boleh kekal di kawasan majoriti Melayu dan gagal meraih sokongan bukan-Melayu, selain turut mendakwa, kekuatan PAS hanya bergantung kepada ketaksuban para ahlinya sahaja.
Justeru turut ditegaskan Muhammad Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah, dalam PAS tiada istilah taksub tetapi ahli parti itu dididik dengan ‘al-Fahmu’ iaitu faham.
“‘Al-Fahmu’ itu tak ada pada Mohd Puad tu, dia pun mungkin tak faham, sebab tu dia kata taksub. Kita faham kenapa kita masuk PAS, sokong PAS dan jadi ahli PAS. Kita sertai PAS dengan kefahaman,” jelasnya lagi.
Atas sikap kefahaman itulah jelas Sanusi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri, menjadikan ahli-ahli dan pemimpin PAS sentiasa komited, istiqamah dan yakin kepada jemaah ini.
Berbeza katanya, dengan pihak lain yang ‘terjun’ dalam dunia politik tetapi tidak faham sepenuhnya dunia tersebut.
“Masuk politik tapi tak faham. Tu sebab berkelahi dengan bos, letak jawatan,” sindir beliau lagi. – HARAKAHDAILY 11/6/2025











