Tragedi UPSI: Gesa pemberian diyat kepada keluarga

Kaji Seksyen 41: Hanya hukum pesalah, tiada pampasan kepada keluarga mangsa

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) menggesa pihak berwajib menetapkan kriteria pembayaran pampasan atau ‘diyat’ kepada ahli keluarga mangsa susulan tragedi kemalangan yang mengorbankan 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), 9 Jun lalu.

- Advertisement -

Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Dato’ Ahmad Yahaya berkata, pihak yang terlibat dalam kemalangan itu, khususnya pengusaha bas, seharusnya tampil bertanggungjawab terhadap tragedi yang meragut banyak nyawa tersebut.

“Dewan Ulamak PAS Pusat menggesa supaya kerajaan mengkaji semula peruntukan di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang melibatkan hukuman ke atas pemanduan melulu atau membahayakan sehingga menyebabkan kematian.

“Seksyen ini menumpukan hukuman terhadap pesalah, tetapi tidak memberikan ruang pembayaran pampasan atau ‘diyat’ kepada ahli keluarga mangsa yang terlibat,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Pokok Sena itu berkata, kerajaan perlu benar-benar teliti dalam perkara itu supaya keadilan kepada mangsa dan ahli keluarga dapat dibela sewajarnya.

“Bahkan pembayaran ‘diyat’ secara lebih menyeluruh berdasarkan prinsip keadilan Islam wajar diperkenalkan dan diintegrasikan dalam ruang perundangan negara bagi memberikan keadilan yang saksama kepada ahli keluarga mangsa,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah itu turut menggesa siasatan penuh dilakukan terhadap peruntukan kewangan disalurkan untuk menaik taraf jalan raya berkenaan yang dikatakan mencecah puluhan juta ringgit.

Katanya, keadaan jalan yang daif dan berlubang telah berlarutan sekian lama tanpa perhatian sewajarnya daripada pihak berwajib.

“Oleh itu, suatu audit menyeluruh wajar dipertimbangkan bagi memantau pelaksanaan projek penaiktarafan jalan raya berkenaan serta kos penyelenggaraan yang telah digunakan,” gesanya.

Pada masa sama, Dewan Ulamak PAS Pusat katanya, turut merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga mangsa tragedi berkenaan dan menyeru semua pihak mengambil iktibar daripada insiden tersebut.

Terdahulu media tempatan melaporkan sebuah bas yang membawa 42 penuntut UPSI terlibat dalam kemalangan maut dengan sebuah Perodua Alza di JRTB Gerik–Jeli berhampiran Tasik Banding, Perak.

Kemalangan berlaku ketika kedua-dua kenderaan dalam perjalanan dari Jeli ke Gerik, dipercayai apabila bas hilang kawalan dan melanggar belakang Alza hingga menyebabkan bas terbalik dan MPV terbabas ke dalam parit.

Tragedi turut menyebabkan 33 lagi cedera termasuk pemandu dan kelindan bas serta empat dari Alza. – HARAKAHDAILY 11/6/2025

- Advertisement -