JRTB perlu dinilai semula sesuai kegunaan terkini

- Advertisement -

ALOR SETAR: Kerajaan Negeri Kedah merakamkan ucapan takziah terhadap keluarga mangsa nahas kemalangan bas di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), Gerik yang meragut nyawa 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), di sini, Isnin lalu.

- Advertisement -

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, ucapan takziah itu juga kepada pemandu Perodua Alza, Ustaz Mohd Lutfi Radzi, isteri dan anak-anaknya yang turut terlibat dengan kemalangan itu.

“Mohd Lutfi merupakan guru pendidikan Islam di Sekolah Kebangsaan (SK) Malau, manakala isterinya di SK Tembak, Baling. Mereka ini berasal dari Kedah dan kini sedang dirawat di Hospital Baling,” kata beliau pada sidang media di Hotel Raia, di sini semalam.

Sanusi juga mengharapkan semua mangsa yang mengalami kecederaan sama ada sedang dirawat di Hospital Gerik, Taiping, Ipoh dan lain-lain, segera sembuh dan kembali meneruskan pengajian di UPSI seperti biasa.

“Semoga mereka tabah menghadapi ujian dan dugaan di dalam kehidupan,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri.

Tegasnya lagi, kemalangan jalan raya ini boleh dikatakan berlaku setiap hari, cuma kejadian Isnin lalu agak besar dan ramai mangsa yang terkorban.

Sungguhpun begitu katanya, beberapa perkara perlu diberi perhatian sama ada dari aspek keselamatan awam, disiplin pemandu termasuk juga infrastruktur jalan.

Beliau mengharapkan, pihak yang bertanggungjawab mengambil perhatian kepada semua faktor bukan sahaja kenderaan tetapi dari aspek jalan dan lain-lain yang berkaitan.

“Banyak dah pengajaran berlaku. Sebelum ini kemalangan yang melibatkan trak FRU di Teluk Intan, kali ini bas pula. Harap diberi perhatian. Keutamaan perlu diberi untuk menaik taraf jalan, melebarkan dan meluruskan jalan.

“Lebuh Raya Timur-Barat ini, dahulu orang ramai tidak boleh lalu sebab ada komunis. Bila semua dah selesai, ia dibuka kepada orang ramai dan boleh menggunakannya. Dulu boleh guna waktu siang sahaja, 6:00 petang jalan ditutup, tetapi sekarang boleh guna siang dan malam,” tambah beliau.

Justeru katanya, bentuk jalan perlu dinilai semua sama ada sesuai atau tidak dengan kelajuan dan aliran trafik yang tidak putus-putus siang dan malam.

Amat wajar katanya, peruntukan infrastruktur untuk negeri-negeri tertentu, diberi kepada untuk menaik taraf jalan di lebuh raya itu kerana ia merupakan laluan utama penduduk dari utara ke Pantai Timur.

“Berilah perhatian kepada jalan itu, ramai yang menggunakan jalan itu dan jauh pula,” tegasnya lagi. – HARAKAHDAILY 11/6/2025

- Advertisement -