13 jenazah mangsa nahas Gerik disolatkan di Besut

- Advertisement -

BESUT: Kesemua 13 jenazah mangsa kemalangan tragis di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Banun, Gerik selamat disolatkan di Masjid Hadhari di sini sekitar jam 3.30 pagi tadi selepas tiba dari Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh.

- Advertisement -

Suasana pilu menyelubungi pekarangan masjid sejak awal pagi apabila ribuan rakyat, termasuk ahli keluarga dan penduduk setempat hadir menunaikan solat jenazah serta memberi penghormatan terakhir kepada para mangsa.

Solat jenazah tersebut telah diimamkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Dr Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi yang juga Exco Kerajaan Negeri Terengganu dalam suasana yang penuh syahdu dan hiba.

Kesemua mangsa merupakan pelajar dan pengiring yang terlibat dalam nahas membabitkan sebuah bas ketika dalam perjalanan ke Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), selepas pulang menyambut Hari Raya Aidiladha di kampung halaman masing-masing.

“Mereka pergi dalam keadaan sedang memburu ilmu, membawa harapan ibu bapa, impian bangsa dan agama. Dalam langkah mereka terselit niat yang suci, perjuangan yang ikhlas. Di situlah letaknya kemuliaan di sisi Allah. Mereka adalah syuhada di jalan ilmu,” ujar seorang waris mangsa dalam linangan air mata.

Jenazah-jenazah kemudiannya dibawa ke kampung masing-masing untuk disemadikan. PAS Kawasan Besut dan jentera setempat turut menghulurkan bantuan dari segi urusan pengurusan jenazah dan sokongan kepada keluarga mangsa.

Terdahulu, bas yang dinaiki mereka terbabit dalam nahas ngeri yang mengorbankan 15 nyawa dan mencederakan puluhan yang lain di laluan berbukit JRTB Banun, Gerik.

Siasatan awal mendapati, kejadian berlaku apabila bas yang membawa 42 pelajar dari Jerteh ke Tanjong Malim dipercayai hilang kawalan ketika menuruni bukit dan melalui selekoh kanan, sebelum melanggar sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang berada di laluan hadapan.

Impak daripada perlanggaran itu menyebabkan bas terbabas dan terbalik di bahu kiri jalan arah ke Gerik, manakala MPV tersebut tercampak ke dalam longkang di kanan jalan hala ke Jeli.

Akibat nahas tersebut, 13 mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala dua lagi meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Gerik.

Seramai 31 yang lain mengalami kecederaan dan turut dirawat di hospital sama. – HARAKAHDAILY 10/6/2025

- Advertisement -