Reformasi keselamatan pengangkutan awam

PN tuntut tindakan segera

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) merakamkan ucapan takziah dan simpati mendalam kepada keluarga mangsa tragedi nahas bas melibatkan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang telah meragut sekurang-kurangnya 15 nyawa.

- Advertisement -

Ketua Portfolio Pengangkutan PN, Ir Ts Khairil Nizam Khirudin berkata, tragedi itu adalah satu tamparan hebat terhadap sistem keselamatan pengangkutan awam negara dan tidak boleh dianggap sebagai insiden terpencil semata-mata.

“PN memandang serius kejadian ini dan menyeru Kerajaan Madani untuk segera mengambil langkah-langkah tegas dengan segera bagi mencegah berulangnya tragedi seumpama ini,” katanya menerusi satu kenyataan.

Justeru, Ahli Parlimen Jerantut itu menggariskan beberapa cadangan konkrit perlu dilaksanakan segera oleh kerajaan, iaitu menyemak semula dan memperkukuh penguatkuasaan peraturan sedia ada yang telah mewajibkan pemasangan dan pemakaian tali pinggang keledar

Ia seperti diwartakan di dalam Warta Kerajaan Persekutuan: Kaedah-Kaedah Kereta Motor (Tali Pinggang Keledar) (Pindaan) 2019, khususnya bagi bas yang dibina selepas 1 Januari 2020, selain memperluaskan sistem ini ke semua bas sedia ada demi keselamatan maksimum.

“Menggesa supaya sistem pemantauan pemandu bas diperluas daripada hanya KEJARA JPJ kepada satu sistem senarai hitam antara agensi. Ini membolehkan pemandu yang mempunyai rekod kecuaian atau pelanggaran serius dikenal pasti dan disekat daripada terus beroperasi tanpa pemantauan ketat.

“Mewajibkan pemasangan sistem GPS atau telematik bagi semua bas, serta memanfaatkan teknologi AI sebagai pemudahcara. Data seperti kelajuan, lokasi, dan masa operasi perlu dipantau secara langsung oleh agensi penguatkuasa untuk mengelakkan kelalaian atau pelanggaran SOP.

“Mengadakan audit keselamatan menyeluruh terhadap semua syarikat bas ekspres dan bas sewa khas pelajar secara berkala. Ini termasuk penilaian ke atas penyelenggaraan kenderaan dan latihan pemandu,” ujarnya.

Beliau turut mencadangkan agar Suruhanjaya Siasatan Bebas segera ditubuhkan untuk menyiasat nahas berkenaan serta mengenal pasti kelemahan sistemik yang perlu diperbaiki secara menyeluruh.

“Sepertimana yang ditubuhkan bagi Kemalangan Maut FRU di Teluk Intan, yang dianggotai oleh Ketua Portfolio Pengangkutan PN. Perikatan Nasional akan membawa isu ini ke Parlimen dalam sesi terdekat.

“Bagi memastikan Kerajaan tidak memandang ringan terhadap aspek keselamatan pengangkutan awam, khususnya apabila melibatkan pelajar dan generasi muda negara. Nyawa rakyat bukan statistik. Ia adalah amanah.

“Dan penyelesaian jangka panjang seharusnya mengambil pendekatan ‘whole-of-government’, tidak lagi berkisar di peringkat Kementerian Pengangkutan,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/6/2025

- Advertisement -